Anggota polis memeriksa kereta Perodua Myvi seorang warga emas yang mati ditembak di dalam kereta di hadapan rumahnya dalam kejadian pukul 9.10 pagi di Jalan Desa Permai, Taman Desa di sini, Ahad.-Foto BERNAMA |
KUALA LUMPUR: Seorang warga emas mati ditembak ketika berada dalam kereta di hadapan rumahnya dalam kejadian kira-kira 9.10 pagi Ahad di Jalan Desa Permai, Taman Desa dekat sini.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata, ketika kejadian, mangsa Fong Yen Chong, 72, bersama isteri serta seorang pembantu rumahnya baru memasuki kereta jenis Perodua Myvi untuk ke pasar sebelum ditembak seorang lelaki bertopeng.
Akibat daripada tembakan itu, mangsa yang merupakan pesara syarikat insuransmati di tempat kejadian, katanya. Wan Abd Bari berkata, suspek dipercayai telah menunggu mangsanya di luar rumah dan telah datang dari arah bertentangan sebelum melepaskan tembakan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
Sementara itu, jiran mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, dia terdengar bunyi tembakan dan sebaik keluar rumah dia melihat kereta jirannya itu telah terbabas.
"Saya dengar bunyi tembakan dalam empat atau lima kali...saya keluar rumah tengok kereta mangsa sudah terbabas di tepi," katanya dan menurutnya mangsa sekeluarga telah menetap di rumah itu lebih 20 tahun.-BERNAMA