Isnin, 22 Oktober 2012

Warga emas kena pukau


Warga emas kena pukau
ROMPIN – “Mak long, pak long cepatlah beli ubat sebab hari dah nak hujan,” demikian rayuan seorang wanita dan seorang lelaki sebelum memukau pasangan warga emas di sebuah rumah di Kampung Sungai Meranti, di sini, baru-baru ini.

Kata-kata manis itu menyebabkan Mat Isa Jusoh, 77, dan isterinya, Maimunah Amin, 76, terpedaya dengan janji manis yang ditaburkan itu hingga menyebabkan mereka hilang RM800.

Mat Isa berkata, kira-kira jam 12 tengah hari, dia yang duduk di dapur bersama isterinya didatangi seorang lelaki kononnya ingin menjual perisa minuman kurma dan oren sambil mendakwa ia boleh mengubati pelbagai penyakit kronik.
“Saya mempelawa lelaki itu masuk ke rumah dan dia pun mula mempengaruhi kami supaya membeli ubat itu pada harga RM300 kerana kononnya ia baik untuk kesihatan,” katanya.
Mat Isa berkata, pada mulanya, dia ragu-ragu untuk membeli ubat perisa minuman itu, namun isterinya pula seolah-olah ‘termakan umpan’ dengan ungkapan manis lelaki itu.

“Lelaki itu beritahu, ubat ini boleh mengubati diabetes, darah tinggi, gaut dan pelbagai jenis penyakit lain hingga menyebabkan isteri mula terpengaruh kerana dia ada diabetes,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mereka didatangi wanita yang mendakwa isteri kepada lelaki itu yang masuk ke dapur rumahnya dalam keadaan tergesa-gesa dan mahu cepat pulang.

“Wanita itu memujuk kami supaya beli saja ubat yang mereka jual sebab hari sudah mendung dan nak hujan.
"Wanita lingkungan usia 40-an itu beritahu, mereka mahu pulang dan minta kami RM300 untuk membeli kedua-dua perisa itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dalam keadaan tergesa-gesa itu, pasangan itu menawarkan pembelian perisa minuman itu pada harga RM200 hingga dia dan isteri bersetuju dengan harga yang ditawarkan.

“Saya minta kurang, mereka kata RM250 pun tak apa, namun setelah berdolak dalik, akhirnya mereka menawarkan harga RM200,” katanya.

Menurutnya, isterinya terus menuju ke bilik di bahagian atas rumah untuk mengambil wang dalam beg tangan simpanannya, namun semasa urusan pembayaran ingin dilakukan dia terkejut apabila wang itu sudah tiada dalam beg hitam itu.

“Saya terkejut bagaimana wang RM600 dalam beg ini boleh hilang.
"Pada masa itu, saya tak mahu fikir sangat dan terus minta isteri ambil RM200 dalam dompet saya,” katanya.
Katanya, setelah segala urusan pembayaran dibuat, pasangan itu terus pulang menaiki kereta dipercayai dari Terengganu berdasarkan nombor pendaftaran kereta tersebut.
“Kami tidak sedar bila mereka ambil duit dalam beg isteri saya.
"Mungkin ketika kami rancak berbual, wanita itu menyelinap masuk dari arah depan dan kemudian masuk dalam bilik,” katanya.
Menurutnya, dia sudah membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Gemok dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin berhubung kes itu dan berharap agar masyarakat lain berhati-hati dengan taktik pukau itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...