Khamis, 8 November 2012

Ah long salah sasaran simbah cat merah


Ah long salah sasaran simbah cat merah
IPOH - “Kami tidak pernah menjalankan perniagaan secara kotor malah pinjaman wang yang dibuat hanya melalui bank yang diiktiraf." Itulah reaksi Yang Yeen Lai, 36, pemilik sebuah restoran di Lorong Taman 9, Taman Permata di sini yang disimbah cat merah dan hitam, kelmarin.

Yeen Lai yang menguruskan restoran tersebut bersama suami, Leong Kai Sin, 39, kesal premis mereka menjadi mangsa perbuatan ah long yang dipercayai tersalah sasaran sedangkan mereka tidak pernah berurusan memohon pinjaman haram.

“Jadi, mengapa premis kami pula yang menjadi ‘mangsa’ simbahan cat. Namun, saya tidak menolak kemungkinan mereka yang melakukan perbuatan tersebut tersalah memilih kedai kerana ia dipercayai dilakukan pada awal pagi,” katanya.

Menurutnya, insiden tersebut turut menjejaskan perniagaannya kerana pelanggan bimbang untuk singgah ke restoran mereka.

“Sehubungan itu, kami berharap polis dapat menjejaki dalang yang melakukan perbuatan tersebut dengan segera,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Kain Sin berkata, dia tiba di bersama ibunya untuk memulakan perniagaan seperti biasa kira-kira jam 5 pagi.

“Bagaimanapun, ketika saya membuka pintu saya ternampak beberapa tompokan cat merah berserakan di lantai kaki lima restoran ini.

“Malah, tompokan cat merah turut terpalit di dinding dan di pintu masuk bersebelahan,” katanya yang baru pertama kali berhadapan dengan insiden itu sejak memulakan perniagaan pada tahun 2007.

Katanya, kedai yang disewa bersama enam lagi peniaga makanan ini pernah dipecah masuk pencuri pada 2007 dan 2010 yang mengakibatkan kerugian ribuan ringgit.

“Pencuri terbabit hanya melarikan stok rokok dan minuman keras yang disimpan di dalam restoran manakala wang tunai serta barangan lain berada dalam keadaan baik,” katanya.

Berikutan itu, Kai Sin membuat laporan di Balai Polis Buntong.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...