Khamis, 8 November 2012

Kereta misteri tepi sungai


Kereta misteri tepi sungai
MALIM - Penemuan sebuah kereta di tebing tali air Sungai Malim, di sini menimbulkan tanda tanya apabila kenderaan tersebut ditinggalkan dalam keadaan kedua-dua pintu hadapan terbuka, sementara kuncinya masih tidak terusik.

Kereta jenis Proton Iswara itu juga terjungkit sedikit di bahagian belakang sehingga menimbulkan kecurigaan seorang lelaki, Wan Sulaiman Wan Zaid, 29, yang melalui kawasan tersebut, lalu menghampiri kereta berkenaan kira-kira 7 pagi, semalam.

Bimbang mungkin ada sesuatu yang buruk berlaku, Wan Sulaiman cuba mencari maklumat dengan menghubungi pemilik kenderaan sebelum bertindak memaklumkan perkara tersebut kepada seorang penjaga Empangan Sungai Malim di kawasan berdekatan, lalu menghubungi polis.

“Saya bekerja di pasar borong dalam perjalanan menghala ke Malim melalui jalan pintas ini seperti biasa, sebelum melihat kereta yang terbuka kedua-dua pintu hadapan.

Kereta misteri tepi sungai
“Saya syak sesuatu dan mengampiri kereta berkenaan. Tetapi kunci kereta masih ada dan terdapat sebelah selipar berhampiran kereta,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi berkenaan, semalam.

Wan sulaiman berkata, dia kemudian membuka bahagian simpanan barang di belakang bagi mencari maklumat untuk menghubungi pemilik kereta itu.

“Selepas tidak menemui apa-apa, saya memaklumkan hal ini kepada seorang lelaki yang juga penjaga empangan berhampiran," katanya.

Sinar Harian difahamkan, sepasukan anggota polis kemudian tiba dan menemui sebuah buku sekolah yang tertera alamat dan nama seorang perempuan.

Berikutan penemuan buku sekolah itu, polis mendapat maklumat kenderaan berkenaan adalah milik Abd Ghani Abdullah, 52, yang tinggal di Taman Rambai Utama, dekat sini.

Sementara itu, isteri Abd Ghani, Asiah Abdullah, 48, ketika ditemui berkata, dia terkejut apabila polis datang ke rumahnya, kira-kira 9 pagi semalam.

Menurut Asiah, suaminya yang merupakan pekerja kontrak keluar rumah kira-kira 6.45 petang kelmarin untuk memancing bersama rakannya dikenali sebagai Arab.

"Suami saya sebelum ini memang tidak minat memancing. Tetapi tiba-tiba memberitahu saya dia mahu memancing bersama rakan lamanya, si Arab menggunakan pancing milik saya.

“Tapi dia tidak beritahu sungai mana dia mahu pergi cuma  membawa peralatan lain dengan memakai seluar jeans hitam dan baju ungu selepas sempat minum petang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bermula 7 malam kelmarin sehingga enam pagi semalam, dia cuba menghubungi suaminya, namun gagal.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Lokman Hakim Sulaiman berkata, seramai lapan anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikerah untuk melakukan operasi mencari yang bermula kira-kira 11.40 pagi semalam.

“Operasi ini turut membabitkan 36 anggota termasuk pasukan polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ,” katanya.

Lokman berkata, selain melakukan operasi menyelamat, pihaknya juga turut menyiasat sama ada mangsa benar-benar terjatuh ke dalam tali air atau sebaliknya, ekoran keadaan kereta yang mencurigakan disyaki berkaitan jenayah.

“Bagaimanapun, operasi mencari ditunda pada jam 3.35 petang sehingga mendapat keputusan pihak polis berhubung siasatan lanjut mereka,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...