JOHOR BAHRU - Seorang wanita tidak menyangka pertemuan dengan suaminya yang menghantar anak berusia lima tahun pulang ke rumah di Taman Bukit Indah pada jam 11 pagi semalam, merupakan yang terakhir buat mereka.
Dia kemudiannya menerima berita suaminya, Sundar Nadeson, 36, seorang pengusaha kedai mencuci kenderaan di Jalan Baiduri, Taman Perling, di sini, ditembak sebelum bergegas ke Hospital Sultanah Aminah dan mendapati suaminya itu disahkan sudah meninggal dunia.
“Seperti biasa suami saya akan hantar anak kami ke tadika pada jam 8 pagi sebelum ke kedainya dan akan menghantar anak pulang ke rumah pada jam 11 tengah hari dan dia akan kedai semula.
“Saya amat terkejut apabila dimaklumkan suami saya ditembak dan terus ke hospital namun mendapati dia sudah meninggal dunia,” katanya.
Katanya, suaminya tidak mempunyai musuh atau menghadapi masalah pergaduhan dengan mana-mana pihak malah rutin hariannya banyak dihabiskan di rumah dan kedai mencuci kenderaannya yang sudah diusahakan sejak 15 tahun lalu.
“Setiap hari suami saya akan terus pulang ke rumah sebaik sahaja selesai bekerja dan banyak menghabiskan masa bersama anak-anaknya.
“Saya tidak pasti nasib keluarga kami selepas ini tambahan pula anak kedua kami masih kecil dan baru berusia lapan bulan,” katanya.
Dalam kejadian itu, Sundar cedera di bahagian kepala dan dadanya selepas ditembak dari jarak dekat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, ketika kejadian mangsa berada di kedainya sebelum dua lelaki yang datang menaiki motosikal melepaskan tembakan ke arahnya.
“Kejadian berlaku pada kira-kira jam 12.45 tengah hari dan kedua-dua suspek yang memakai helmet berpenutup muka segera meninggalkan tempat kejadian selepas tembakan dilakukan.
“Suspek dan motif kejadian sedang dikenal pasti manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Pekerja mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Barath, 30, memberitahu dia terdengar bunyi tiga das tembakan sebelum mendapati majikannya rebah dalam keadaan berlumuran darah.
“Ketika kejadian saya bersama tiga pekerja lain sedang melakukan tugas mencuci kereta, manakala majikan saya berada di bahagian kaunter pembayaran.
“Kemudian datang seorang lelaki menuju ke kaunter, namun saya tidak mengesyaki sesuatu buruk akan berlaku dan meneruskan tugas mencuci kereta seperti biasa.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi tembakan sebanyak tiga kali dan mendapati majikan berlumuran darah manakala seorang lelaki memakai topi keledar melarikan diri bersama rakannya yang menunggu di atas motosikal, “ katanya.
Katanya, kedua-dua lelaki itu melarikan diri menaiki motosikal jenis Yamaha LC bewarna merah, namun dia gagal mengecam wajah dan nombor pendaftaran kenderaan kerana kejadian terlalu pantas.
“Saya segera menghantar majikan ke hospital dengan menaiki kenderaan sendiri namun dia disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.
Beliau yang sudah sepuluh tahun bekerja di situ berkata, mangsa seorang yang baik dan peramah namun jarang berkongsi masalah dengan pekerjanya.
“Setahu saya dia tidak adamusuh, dia juga tidak pernah memberitahu sekiranya dia menghadapi sebarang masalah atau diugut,” katanya.