Ramlah melakonkan semula adengan tangannya diikat sebelum diheret ke belakang rumah. |
BATU PAHAT – Seorang wanita dan anaknya bukan saja trauma akibat rumah mereka dirompak, malah salah seorang daripada mereka turut menjadi mangsa rogol dua penjenayah dalam kejadian awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi kelmarin, dua suspek bertopeng memecah masuk rumah mangsa, dan mengugut mereka menyerahkan wang tunai serta barang kemas.
Ramlah Ahmad (bukan nama sebenar), 59, ketika menceritakan detik cemas dilaluinya itu berkata, dia dan anaknya Mira (bukan nama sebenar) 27, sedang tidur di ruang tamu rumah sebelum dikejutkan dengan kehadiran suspek.
“Kami terus diseret beberapa meter ke belakang rumah, hendak menjerit tidak boleh kerana mulut kami juga disumbat dengan gumpalan selimut yang telah dikoyakkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Kampung Parit Haji Hassan, di sini, semalam.
Menurut Ramlah, salah seorang suspek telah memperkosa anaknya, hanya beberapa meter di tempat di mana dia diikat di ladang kelapa sawit di belakang rumahnya.
Katanya, kedua-dua suspek kemudiannya bertindak menggeledah rumahnya, dan dia ketika itu berusaha melepaskan ikatan.
“Selepas berjaya membuka ikatan, saya terus mendapatkan anak saya yang ketika itu masih berbaju tidur dan diselimutkan dalam keadaan terlentang, dia trauma dan menangis.
“Saya kemudiannya bergegas berlari mendapatkan jiran berdekatan untuk meminta tolong,” katanya.
Berikutan kejadian tersebut menurutnya, Mira dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) kerana mengalami trauma dan sering menangis.
Difahamkan, Mira adalah graduan dari institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan kini sedang mencari pekerjaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian rompak dan rogol tersebut.
“Pasukan khas itu akan memburu suspek yang dipercayai warga tempatan.
“Saya berasa sangat simpati terhadap mangsa dan ibunya. Mereka diminta bersabar dan polis akan melipat gandakan usaha bagi menyelesaikan kes berkenaan,” katanya
Adun Parit Raja, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang turut melawat Ramlah sekeluarga berkata, beliau akan membantu keluarga malang itu termasuk menyediakan sebuah rumah baru.
“Rumah usang yang didiami Ramlah berada di dalam senarai untuk dibaik pulih sebelum ini, namun saya akan berusaha jika boleh mendapatkan rumah baru untuknya.
“Selain itu, saya akan berusaha mendapatkan pekerjaan untuk mangsa supaya dia tidak mengalami trauma yang berpanjangan,” katanya.