Gambar hiasan |
KOTA KINABALU, 14 Feb (Bernama) -- Ketua Polis
Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga
Filipina yang mendarat di persisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris
berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina.
Beliau berkata kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja
Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar
pulang ke negara asal.
"Kita telah hantar pasukan untuk berunding dengan mereka dan perbincangan
berjalan baik dan kita beritahu mereka bahawa mereka kena tinggal (Sabah)
secara baik dan kita tidak mahu apa-apa keadaan yang boleh menggugatkan
keselamatan rakyat di negeri ini," katanya pada sidang akhbar di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini Khamis.
Ismail berkata kumpulan itu yang kini berada di Kampung Tandau, Labian di Lahad
Datu memberi jaminan akan meninggalkan tempat itu (Sabah) secepat mungkin
dengan syarat tuntutan mereka dipenuhi.
Beliau berharap anggota kumpulan berkenaan akan meninggalkan negeri ini secepat
mungkin dan menegaskan tuntutan seharusnya dibuat secara diplomatik, bukan
secara mengejut seperti yang dilakukan itu.
"Kita lihat perbincangan dalam keadaan terkawal dan pasukan keselamatan
telah mengambil tindakan awal dengan mengepung kampung itu sejak semalam dan
saya percaya perkara ini dapat diselesaikan secara baik dalam masa
terdekat," katanya.
Beliau berkata pihaknya mengganggarkan kumpulan itu melebihi 100 orang dan
tidak menolak kemungkinan mereka bersenjata, namun demikian polis mengambil
pendekatan 'berhati-hati' bagi menghadapi sebarang kemungkinan. BERNAMA