Selasa, 19 Februari 2013

PDRM bertindak jika ada campur tangan asing PRU-13


Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak jika terdapat campur tangan pihak asing semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata sehingga ini polis sedang memantau kemungkinan itu.

"Setakat ini tiada maklumat pihak asing campur tangan dalam hal berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai keselamatan jalan raya di Ibu Pejabat Polis Daerah di Pasir Putih, Ahad.

Bernama melaporkan beliau diminta mengulas kebimbangan sesetengah pihak tentang kemungkinan berlaku campur tangan asing dalam PRU-13 berasaskan keadaan politik semasa.

Mengenai kebimbangan kemungkinan pihak pembangkang melakukan kegiatan 'Arab Spring' jika tewas pada PRU-13, beliau yakin ia tidak berlaku kerana tahap kesedaran rakyat terhadap kepentingan keselamatan negara semakin meningkat.

Katanya polis sudah siap sedia untuk menghadapi PRU-13 dan akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengikut undang-undang yang digariskan.-10/2/2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...