Ahad, 12 Mei 2013

Dua lelaki parah ditembak kumpulan samseng


CHERAS - Tindakan dua lelaki mencari gaduh dengan sekumpulan samseng mengundang padah apabila ke dua-duanya cedera parah setelah ditembak di perut oleh ahli kumpulan berkenaan di Jalan Budiman 9, Taman Mulia di sini malam tadi.
Kejadian pada kira-kira pukul 7.30 malam itu dipercayai tercetus apabila kedua-dua mangsa berumur 30-an dan bersenjatakan parang pergi ke tempat kejadian dengan menaiki motosikal untuk menggertak anggota samseng yang sedang minum di sebuah kedai kopi.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, tindakan tersebut telah me nyebabkan berlakunya pertengkaran kecil sebelum ke dua-dua mangsa dikejar oleh tiga ahli kumpulan samseng itu sejauh kira-kira 600 meter sebelum ditembak di bahagian perut.
"Kita telah menjumpai sebilah parang dan kasut sukan berhampiran dengan lokasi mangsa ditembak. Buat masa ini, kita masih menyiasat sama ada barangan itu milik suspek.
"Motif sebenar kejadian masih lagi terlalu awal untuk dipastikan dan kita akan menyiasat perkara ini," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mendapatkan rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Ke seksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api. - KOSMO!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...