Ahad, 12 Mei 2013

Perjumpaan Dengan Warga PDRM Terengganu


Kuala Terengganu, 10 Mei 2013 – Bertempat di Dewan Utama, Tingkat 4, Menara Yayasan Islam Terengganu, Kuala Terengganu, YDH IG Tan Sri Datuk Seri Utama Hj. Ismail bin Hj. Omar, Ketua Polis Negara, YDH CP Datuk Mortadza bin Nazarene, Pengarah Pengurusan PDRM dalam lawatan kerja Ke Kontinjen Terengganu telah membuat perjumpaan bersama pegawai dan anggota polis Kontinjen Terengganu. Seramai lebih kurang 300 orang hadir, terdiri daripada pegawai dan anggota dari seluruh daerah Kontinjen Terengganu. 

Dalam ucapan beliau YDH Ketua Polis Negara menyarankan agar semua pegawai dan anggota polis mempunyai hubungan yang baik dengan orang awam di pelbagai peringkat dalam masyarakat kerana ia merupakan suatu kaedah di dalam menjaga keamanan Negara. 

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Terengganu dan seluruh warga polis Terengganu yang telah menjalankan tugas dan tanggungjawab terbaik dalam membantu negara menjalani proses PRU 13 dengan lancar dan baik. Tambah beliau “ini merupakan salah satu kejayaan PDRM”.

Penampilan pegawai dan anggota polis dikalangan masyarakat amat penting untuk menimbulkan keyakinan masyarakat tentang keadaan keselamatan dan keamanan negara. Pegawai dan anggota polis perlu menyalurkan maklumat dan nasihat yang betul kepada anggota masyarakat setempat. 

Beliau mengakhiri ucapan dengan rasa syukur kerana PDRM boleh menghadapi cabaran yang ada dengan disiplin, amanah, tanggungjawab dan menyahut seruan yang termaktub dalam Akta Polis serta dengan izin dan pertolongan Allah. “Walau bagaimanapun cabaran masih ada dan sama-samalah kita berganding bahu untuk memikul tanggung jawab ini” kata beliau.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...