Kuching, 9 Mei - Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama polis dari Taiwan dan China berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan dalam talian melibatkan perpindahan wang melebihi RM4 bilion dikenali sebagai 'Macau Scam' di sini hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata kejayaan ini berikutan tertangkapnya 84 warga asing di dua buah rumah mewah di lokasi berasingan di bandar raya ini pagi ini.
"Di premis pertama, polis berjaya menahan 55 warga Taiwan terdiri daripada 31 lelaki dan 24 perempuan, serta seorang lelaki warga tempatan," katanya kepada pemberita di sini. Katanya 29 orang lagi warga China terdiri daripada 16 lelaki dan 13 perempuan ditahan di premis kedua yang diserbu dalam operasi itu.
"Dalam operasi tersebut polis berjaya merampas 113 unit telefon, 11 unit komputer riba, dua unit komputer desktop, 11 peralatan bantuan internet seperti modem dan router, 12 unit telefon bimbit dan lain-lain alatan elektronik sokongan," katanya.
Kesemua anggota sindiket yang ditahan ini akan diekstradisi ke negara masing-masing untuk menghadapi pendakwaan, katanya. - BE