Gambar hiasan |
NIBONG
TEBAL: Seorang lelaki cedera parah ditembak dari jarak dekat ketika sedang
minum bersama beberapa rakannya di sebuah kedai makan di Sungai Daun, di sini
malam tadi.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata mangsa dihampiri
seorang lelaki yang memakai topi keledar kira-kira jam 11 malam dan melepaskan
dua das tembakan ke arahnya.
Beliau berkata tembakan itu mengenai kepala lelaki berusia 43
tahun itu dan dia dihantar ke Hospital Sungai Bakap, di sini sebelum
dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang.
Beliau berkata lelaki yang melepaskan tembakan ke arah mangsa
melarikan diri dengan sebuah motosikal bersama rakannya yang menunggu kira-kira
30 meter dari tempat kejadian.
"Ketika melarikan diri, lelaki terbabit tercicir sebuah beg
berisi peluru dan topi keledar yang dipakainya berhampiran tempat
kejadian," katanya.
Mazlan berkata polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk
mengenalpasti motif sebenar kejadian tembakan itu.
"Kami akan mengambil keterangan daripada saksi kejadian dan
anggota keluarga mangsa serta rakan-rakannya," katanya.
Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai
maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi
membantu siasatan. - Bernama