Rabu, 8 Mei 2013

PENJARA SETAHUN, DENDA RM50,000 JIKA SEBAR MAKLUMAT PERKAUMAN


George Town, 8 Mei - Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi menegaskan tindakan keras akan diambil terhadap pihak atau individu yang menyebarkan maklumat berbaur perkauman dan fitnah di media sosial atau khidmat pesanan ringkas (SMS) yang boleh menyebabkan ketegangan kaum.

Katanya tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998/Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi satu tahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Mereka juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998/Seksyen 4(1) Akta Hasutan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi satu tahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai laporan berunsur fitnah atau berbaur perkauman yang disebarkan di media sosial seperti Facebook dan SMS.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata keadaan keselamatan di seluruh negeri selepas proses pilihan raya umum ke-13 adalah tenang dan terkawal.

Katanya polis juga tidak menerima laporan berhubung dakwaan kononnya berlaku gangguan bekalan elektrik sewaktu pengiraan undi sedang dijalankan pada Ahad lepas.

Beliau berkata polis juga menerima enam laporan berhubung dakwat kekal iaitu empat di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan dua di Ibu Pejabat Daerah Polis Barat Daya.

Mengenai kekecohan di pusat pengundian di Sungai Udang, Nibong Tebal, beliau menjelaskan kekecohan itu berlaku apabila tiga pengundi India Muslim dihalang oleh penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas dakwaan mereka pengundi hantu.

"Tetapi setelah dilakukan semakan mereka adalah warga tempatan, mempunyai kad pengenalan dan namanya terdapat dalam daftar mengundi," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata polis Pulau Pinang telah menahan seorang lelaki berumur 22 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan membabitkan penyokong dua parti politik di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Kong Ming, Air Itam pada 5 Mei lepas.

"Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis," katanya. Beliau berkata keseluruhannya terdapat 704 laporan polis yang diterima sepanjang tenpoh 4 April hingga 5 Mei dan sebanyak 45 kertas siasatan telah dibuka sepanjang tempoh itu.- BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...