Rabu, 8 Mei 2013

PEMILIK AKAUN LAMAN SOSIAL DAKWA LORI POLIS BAWA PENGUNDI HANTU DISIASAT


Johor Baharu, 8 Mei - Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata satu pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat pemilik akaun laman sosial yang mendakwa lori polis digunakan untuk membawa pengundi hantu ke Batu Pahat.

Katanya siasatan rapi perlu dilakukan bagi memastikan individu yang melemparkan dakwaan itu diambil tindakan sewajarnya kerana dakwaan itu merupakan fitnah untuk menjatuhkan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menyifatkan polis turut mempunyai hak untuk mempertahan imej, Mohd Mokhtar berkata satu laporan polis telah dibuat di Batu Pahat agar dakwaan itu disiasat berlandaskan undang-undang bagi membersihkan PDRM daripada fitnah seumpama itu.

Beliau menegaskan lori polis itu digunakan untuk membawa Unit Pasukan Penggempur Kecil (PORU) bagi memantau keadaan keselamatan semasa proses pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad lepas.

"Tiada insiden pengundi hantu berlaku di negeri ini. Saya nasihatkan individu sebegini agar berhenti memfitnah polis dan jangan salah guna kemudahan media sosial sedangkan selama ini polis laksanakan tanggungjawab dengan baik menjaga keamanan negara," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Mokhtar menasihati rakyat Johor agar tidak terpengaruh dengan hasrat segelintir individu yang cuba menganjurkan perhimpunan haram bagi mengganggu kesejahteraan di negeri ini.

"Ada beberapa kumpulan telah dikesan cuba berhimpun secara haram dan mereka diberi amaran tegas agar jangan timbulkan sebarang kekecohan kerana ketua-ketua polis daerah telah diarahkan untuk segera mengambil tindakan terhadap mana-mana kumpulan terlibat," katanya.

Beliau berkata sebanyak 1,231 laporan polis pelbagai dakwaan diterima sepanjang tempoh PRU13 dan 12 individu telah ditahan, tiga daripadanya telah didakwa di mahkamah manakala selebihnya masih direman untuk membantu siasatan.

Katanya, polis turut menerima laporan berbaur hasutan dan memberi keutamaan siasatan bagi laporan sedemikian bagi menjaga keharmonian di negeri ini dan mengelak sebarang provokasi pihak tidak bertanggungjawab. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...