JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia
(PDRM) Kontinjen Johor menjadi mangsa fitnah apabila dituduh menggunakan trak miliknya
untuk membawa pengundi hantu warga asing ke pusat pengundian, Ahad lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff turut
mengesahkan, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu
Pahat dan siasatan lanjut kini dilakukan terhadap pemilik akaun Facebook (FB)
terbabit yang mengeluarkan berita palsu itu.
"Fitnah itu didakwa berlaku di Batu Pahat, ia tidak
berasas sebaliknya hanya mencemarkan kredibiliti PDRM.
"Trak berkenaan sebenarnya digunakan untuk membawa anggota polis yang bertugas bagi memastikan suasana pembuangan undi berjalan lancar serta aman," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, semalam.
Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan
Jenayah Johor Datuk Dr Hashim Haron.
Mohd Mokhtar berkata, beliau mengandaikan
fitnah terbabit sebagai sampah serta fitnah tertinggi yang dilempar terhadap
PDRM Kontinjen Johor.
Beliau turut berharap pihak
berkaitan berfikir sebelum menyebarkan fitnah seperti itu.
"Kami melihat ada aliran di
media sosial untuk menyebarkan fitnah sebegini. Saya sedih dengan apa yang
berlaku kerana kami melaksanakan tugas mengikut lunas undang-undang bagi
membolehkan proses demokrasi berjalan lancar," katanya.