SHAH
ALAM: Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata polis akan
memanggil penganjur perhimpunan membantah keputusanpilihan raya umum ke-13 di
Stadium Kelana Jaya, dekat sini malam tadi bagi membantu siasatan.
Beliau
berkata selain itu polis juga akan mendapatkan keterangan daripada para
pemimpin Pakatan Rakyat yang berucap pada perhimpunan itu.
Katanya
28 daripada 33 pemimpin pakatan yang berucap pada perhimpunan itu didapati
memberi ucapan berbau hasutan, yang menyalahi Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
"12.20
tengah hari semalam kita terima notis, kita minta tunda supaya berlaku adil
kepada penduduk sekitar," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Bagaimanapun,
katanya pihak penganjur tetap meneruskan perhimpunan itu dan mengakibatkan
kesesakan lalu lintas dan kegusaran masyarakat sekeliling serta pengguna lebuh
raya kerana sikap tidak bertanggungjawab peserta perhimpunan yang meletakkan
kenderaan sesuka hati dan berlapis-lapis sehingga mengganggu aliran lalu
lintas.
Tun
Hisan berkata stadium Kelana Jaya itu hanya mampu menampung 25,000 orang dan
mempunyai kira-kira 700 lot parkir dan menurutnya jika pihak penganjur mengikut
peraturan, pihak polis boleh mencadangkan tempat yang lebih sesuai bagi
penganjuran perhimpunan itu.
"Cuba
bayangkan apa yang akan berlaku jika berlaku kecemasan dalam keadaan lalu
lintas yang sesak. Ini menunjukkan mereka ini hanya mementingkan diri sendiri
tanpa memperdulikan kesan perbuatan mereka ke atas masyarakat setempat",
katanya.
Ketika
ditanya mengapa penganjur boleh memaklumkan kepada orang-ramai lebih awal
menerusi laman sosial mengenai penganjuran perhimpunan itu tetapi memilih
tengah hari semalam untuk memberi notis kepada polis, Tun Hisan berkata mereka
ini sebenarnya adalah golongan bijak dan terpelajar tetapi sengaja hendak
mencabar undang-undang.
Katanya
polis ada menerima beberapa laporan polis mengenai insiden semalam termasuk
daripada seorang wanita yang mendakwa keretanya dibaling dengan botol.
Katanya
belum ada sebarang tangkapan dibuat kerana pihak polis masih belum selesai
membuat siasatan untuk dihantar kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan
selanjutnya.
Tun
Hisan berkata perhimpunan semalam akan turut disiasat mengikut Seksyen 124B
Kanun Keseksaan kerana melibatkan aktiviti yang memudaratkan demokrasi
berparlimen dan ini merupakan satu kes yang berat kerana mereka yang disabit
kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun.
"Kita
memandang berat kerana mereka secara terang-terangan melanggar undang-undang,
tidak hormat kepada masyarakat setempat".
Beliau
juga berkata penganjur dan peserta tidak boleh mempertahankan tindakan mereka
sebagai hak asasi tanpa mempedulikan dengan hak asasi penduduk setempat dan
juga anggota polis. - Bernama