Gambar hiasan |
Kuantan: Hanya kerana menggayakan fesyen rambut yang sama, seorang remaja cedera apabila dibelasah lima lelaki bersenjatakan pemukul besbol yang menyangka mangsa abangnya dalam kejadian di sebuah kedai makan di Teluk Chempedak, di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa yang berusia 18 tahun itu bernasib baik hanya cedera ringan apabila sempat memberitahu identitinya yang sebenar menyebabkan kelima-lima suspek itu berhenti memukulnya kerana menyedari tersilap sasaran.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama abangnya berusia 22 tahun dan dua lagi rakan mereka termasuk seorang gadis makan di sebuah restoran di pantai peranginan itu.
“Mangsa yang terjatuh daripada kerusi dibelasah bertubi-tubi dan kepalanya turut dipukul dengan pemukul besbol sebelum salah seorang suspek bertanyakan identiti mangsa.
“Sejurus mendengar identiti mangsa, suspek baru menyedari bahawa mereka tersilap sasaran sedangkan sasaran sebenar adalah abang mangsa yang sedang berada di dalam tandas ketika kejadian,” katanya.
Menurutnya, kelima-lima suspek terbabit yang berusia 19 hingga 20 tahun bergegas meninggalkan tempat kejadian sebelum mangsa dibantu orang awam untuk dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan mendapatkan bantuan.