Isnin, 31 Mac 2014

Pasangan Suami Isteri Ditemui Mati Dibunuh

Pasangan Suami Isteri Ditemui Mati Dengan Kesan Kelar, Anjing Peliharaan Dibunuh

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri ditemui mati dengan leher dikelar di flat mereka di Kampung Muhibbah pada Sabtu.

Difahamkan, dalam kejadian pukul 11 malam di Blok C Projek Perumahan Rakyat Muhibbah, suami kepada wanita terbabit telah mengelar leher isterinya selepas berlaku pertengkaran sebelum mengambil nyawanya sendiri.

Mayat pasangan itu yang berlumuran darah ditemui bergelimpangan di atas lantai di dalam bilik dengan dua ekor anjing peliharaan mereka turut dibunuh.

Pisau yang dipercayai telah digunakan oleh lelaki terbabit untuk membunuh dirinya, ditemui di sebelah mayatnya.

Siasatan awal mendapati tanda kelar dengan ukuran antara 10 dan 15cm di leher wanita itu.

Terdapat juga tanda kelar pada leher anjing peliharaan mereka.

Seorang jiran, yang enggan namanya disiarkan berkata dia telah mendengar bunyi dari unit pasangan itu kira-kira jam 10 malam.

"Kedengarannya seperti mereka sedang bertengkar antara satu sama lain. Tidak lama selepas itu, seluruh blok dikejutkan dengan penemuan mayat mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dia menambah, pasangan itu yang dikenali sebagai Selvam dan Anita tidak mempunyai anak dan telah tinggal di situ selama beberapa tahun.

"Selvam mempunyai perniagaan pengangkutan manakala Anita bekerja sebagai jurusolek sambilan," katanya.

Seorang lagi jiran, yang juga enggan dikenali mengakui bahawa ini adalah kali pertama dia mendengar pasangan itu bertengkar.

"Saya tidak pernah melihat atau mendengar mereka bergaduh. Mereka begitu penyayang," katanya.

Ketua Polis Daerah Cheras Komisioner Mohan Singh mengesahkan menerima laporan itu dan berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Beliau menambah siasatan sedang dijalankan dan tidak ada unsur-unsur jenayah dalam kejadian itu.

Mayat-mayat telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

Pemandu Bas Disamun, Hilang RM3,000


BESUT: Seorang pemandu bas kerugian RM3,000 setelah disamun dua lelaki selepas mengeluarkan wang itu di sebuah bank di bandar Jerteh di sini pada Khamis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata kejadian berlaku kira-kira 8.15 malam semasa mangsa berumur 31 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Amer.
"Ketika menunggang motosikalnya, mangsa yang tidak menyedari telah diikut kemudiannya telah disekat oleh dua lelaki menaiki sebuah motosikal di Kampung Gong Mak Som, Alur Lintah.
"Suspek mengeluarkan parang dan meletaknya di leher mangsa sambil memaksanya memberikan wang yang diletakkan dalam beg sandangnya," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.
Dalam kejadian berasingan, Noor Zainy berkata seorang pemandu lori berumur 23 tahun dari Kampung Gong Kepas Dalam, cedera di bahu kiri selepas diserang seorang lelaki dengan pisau.
Kejadian berlaku ketika pemandu lori itu bertandang ke rumah rakan wanita yang merupakan bekas isteri penyerang itu di Kampung Pak Da Malik, Kampung Raja di sini pada Selasa, katanya.
Ekoran kejadian itu, mangsa dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Besut, katanya.

Ahad, 30 Mac 2014

Dua ditangkap curi kabel TM


KEMAMAN – Dua lelaki yang sedang leka mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) dikepung penduduk sebelum berjaya ditangkap dalam kejadian di Kampung Labohan, Kerteh, pagi semalam.

Kedua-dua suspek berjaya ditangkap penduduk kampung kira-kira jam 10.30 pagi ketika sedang asyik memotong salah satu kabel telefon tersebut.

Gara-gara cuba melarikan diri selepas menyedari perbuatan mereka dilihat penduduk, suspek turut bergelut dengan orang kampung menyebabkan mereka berdua cedera.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, perbuatan suspek mencuri kabel tersebut disedari penduduk.

“Pengadu yang berusia 34 tahun sambil dibantu abangnya dan beberapa orang kampung lain segera bertindak menangkap kedua-dua suspek setelah melihat perbuatan mereka yang cuba mencuri, sebelum menyerahkan mereka kepada polis.

“Barang kes yang dirampas bersama kedua-dua suspek adalah dua gulung kabel hitam milik TM yang panjangnya enam meter untuk setiap gulung dan sebilah parang berukuran 0.3 meter,” katanya.

Parang tersebut dipercayai digunakan untuk memotong kabel yang dicuri yang mana kabel yang telah siap dipotong kemudiannya akan digulungkan.

Beliau berkata, salah seorang suspek beralamat di Rumah Awam Kos Rendah Kemasik dan seorang lagi beralamat di Kampung Batu Putih, Kerteh.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek pertama tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala suspek yang beralamat di Kampung Batu Putih memiliki dua rekod di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Sabtu, 29 Mac 2014

Lelaki Cedera Disimpah Asid Oleh Rakan


PASIR PUTEH: Dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 14 tahun cedera selepas disimbah asid oleh seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Banggol Pak Esah di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Mohd Kamal Zainal berkata kejadian berlaku pukul 10.15 malam ketika kedua-duanya iaitu Tuan Zulashraf Tuan Yaacob, 14, dan Emi Azman, 22, berada di sebuah gerai menjual burger.
"Seorang lelaki yang menunggang motosikal menghampiri mereka dan menyimbah cecair yang diisi di dalam botol sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini.
Menurutnya akibat kejadian itu Emi mengalami cedera parah di muka dan badan serta dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, manakala Zulashraf pula menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tengku Anis di sini.
Katanya siasatan awal polis mendapati suspek dikenali oleh mangsa.

Pil Kuda Bernilai Hampir RM300,000 Dan Wang Tunai Rm90,000



PASIR MAS: Polis merampas sebanyak 14,800 biji pil kuda dianggarkan berharga RM296,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Rantau, Rantau Panjang di sini. 


Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Haliludin Rahim berkata selain itu polis turut merampas wang tunai berjumlah RM90,000 dalam serbuan pukul 4 petang Khamis lepas dan menahan dua lelaki berumur 38 dan 42 tahun selepas pergelutan.

"Kesemua pil khayal jenis WY itu dianggarkan bernilai RM296,000 pada harga pasaran yang dipercayai diseludup masuk untuk pasaran tempatan.

"Katanya kesemua pil kuda dan wang tunai itu ditemui di dalam sebuah bilik dan wang berkenaan dipercayai hasil jualan pil berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Pasir Mas di sini, Ahad.

Haliludin berkata seorang daripada lelaki itu adalah rakyat Thailand manakala seorang lagi rakyat tempatan berumur 38 tahun dan didapati positif dadah.

Jumaat, 28 Mac 2014

Suami isteri maut ditetak


SITIAWAN – Sepasang suami isteri ditemui maut dalam keadaan berlumuran darah selepas menjadi mangsa tetakan senjata tajam di beberapa bahagian badan di rumah sewanya di Kampung Cina di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1.50 pagi itu, mangsa, M. Muniandy, 30, dan isteri, A. Kaliammal, 37, ditemui terbaring di ruang tamu rumah tersebut selepas salah seorang jiran mereka mendengar berlaku pergaduhan di rumah tersebut.
Anak angkat lelaki mangsa berusia dua tahun dua bulan yang sedang tidur di dalam rumah berkenaan bagaimanapun tidak diapa-apakan oleh suspek.

SAMUN PENIAGA UBI GORENG

Gambar hiasan

KEMAMAN - “Ketika saya hulur bungkusan ubi goreng, tiba-tiba suspek tarik rantai leher emas yang saya pakai hingga putus,” kata peniaga sarat mengandung, Sharifah Syalima Syed Mohamad, 29, yang berdepan detik cemas disamun di kedainya di Kampung Pasir Minal, Jalan Air Putih, petang kelmarin.

Malah, gara-gara ketakutan selepas bergelut dengan suspek, mangsa mempertaruhkan nyawanya dan bayi dalam kandungan dengan melompat meja berketinggian kira-kira satu meter, untuk keluar dari kedai bagi menyelamatkan diri daripada suspek yang bertindak lebih agresif.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, suspek yang datang menaiki sebuah motosikal Yamaha Nouvo berwarna merah, berpura-pura mahu membeli ubi goreng sebelum meragut rantai leher mangsa, namun mangsa yang hamil tujuh bulan cuba merampasnya kembali.

Sharifah Syalima berkata, terkejut dengan kejadian itu, dia turut menjerit meminta tolong dan dalam loghat Kelantan, lelaki berkenaan mengugutnya agar jangan bersuara.

“Disebabkan saya berjaya rampas balik rantai diragutnya, lelaki itu yang masih bertopi keledar berwarna merah, bertindak berani dengan masuk ke dalam kedai tempat saya berdiri hingga saya menggigil ketakutan.

Kedai komunikasi dirompak, rugi hampir RM13,000

Gambar hiasan

KEMAMAN - Sebuah kedai telekomunikasi di Bandar Seri Bandi di sini kerugian kira-kira RM13,000 setelah dirompak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang petang semalam.

Dalam kejadian jam 1.10 petang itu, dua jurujual wanita berusia 20-an didatangi dua lelaki yang berpura-pura ingin membeli kad tambah nilai.

Tidak lama kemudian, dua lelaki meluru masuk ke dalam kedai dengan seorang daripada mereka memegang sebilah parang.   Seorang daripada jurujual terbabit, Noor Nabilla Mohamad, 23, berkata beliau dan rakan sekerjanya, Rasyidah Mohamad, 18, ditolak masuk ke dalam stor oleh seorang daripada suspek.  

"Perompak itu mengikat kedua-dua belah tangan kami berdua menggunakan tali nilon yang mereka bawa manakala kaki kami pula diikat dengan kain langsir pintu stor kedai. Malah perompak itu juga mengertak untuk membunuh kami jika berbuat bising.  

Khamis, 27 Mac 2014

PAC puas hati aset PDRM

Kuala Lumpur: Mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Penggal Kedua yang diadakan di Parlimen hari ini, berpuas hati terhadap sistem pengurusan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, PDRM masih melaksanakan tiga sistem iaitu Sistem Pemantauan Kehilangan Aset (PALMS), Sistem Pengurusan Aset Tak Alih (MySPATA) dan Sistem Pengurusan Aset Mudah Alih (MySPA). 
"Sistem ini digunakan untuk memantau kesemua aset PDRM seperti senjata api, kenderaan dan bangunan. Ia sedang dijalankan selepas Laporan Audit Negara 2012," katanya pada sidang media PAC di Parlimen di sini.
Menurutnya, PDRM melaksanakan tindakan dalam melatih anggota mereka lebih cermat dalam menggunakan aset termasuk membabitkan kes kehilangan pistol.
"Kami dimaklumkan insiden kehilangan senjata api PDRM menurun akibat pelaksanaan sistem baru ini dan tiada senjata api hilang yang digunakan dalam kes jenayah," katanya. 

Katanya, PDRM melakukan ujian balistik dalam memastikan pistol yang hilang sama ada digunakan dalam aktiviti jenayah. 

Sumber:mymetro

Rabu, 26 Mac 2014

Mayat tanpa kepala di pantai

Gambar hiasan
ROMPIN – Dua sahabat yang keduanya bekerja sebagai nelayan yang sedang asyik mengutip botol di Pantai Batu 6, Janglau, di sini sekitar jam 8 pagi tadi terkejut dengan penemuan satu mayat tanpa kepala terdampar di pantai.
Penduduk Sungai Meranti, Mohd Sharif Kupa, 47, berkata, beliau terkejut kerana tidak pernah lagi menemui mayat dalam keadaan sedemikian.
“Kami berdua memang hampir setiap pagi akan ke pantai untuk mencari botol yang dihanyutkan ombak. Tidak sangka pula pagi ini kami boleh terjumpa mayat yang tiada kepala.
“Ketika itu kami dalam perjalanan dengan menaiki motosikal untuk mengambil satu tong yang terdampar tidak jauh dengan lokasi mayat. Dari jauh sudah nampak dan memang syak itu adalah mayat, bila kami hampiri memang sah,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, beliau bersama dengan rakannya itu, Dolah Mat, 48, tidak membuang masa dan terus menghubungi pihak polis untuk memaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya yang dihubungi mengesahkan kejadian.
“Mayat tanpa kepala berkenaan masih berpakaian baju t-shirt dan seluar pendek serta umurnya kemungkinan dalam lingkungan 30-an. Terdapat satu lubang di bahagian dada.
“Mayat tersebut sudah mula reput dan bangsanya masih belum dapat disahkan. Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat,” katanya.

CUAI - Anggota RELA maut ditembak rakan

Tanah Merah: Seorang anggota RELA maut selepas ditembak rakannya secara tidak sengaja dipercayai menggunakan senapang patah ketika mereka berburu di Kampung Sokor di sini, kira-kira jam 7 malam semalam.
Mangsa Mohd Sukri Ramli, 51, yang dimasukkan ke Hospital Tanah Merah sejurus kejadian disahkan meninggal dunia jam 1.50 pagi tadi.
Sumber:mymetro

PDRM Komited Perangi Jenayah, Antara Ikrar Sempena Sambutan Hari Polis Ke-207



KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Malaysia menyokong polis dan memainkan peranan aktif mengurangkan kadar jenayah dan mengekalkan keamanan negara sempena sambutan Hari Polis ke-207.

Beliau berkata setiap individu atau organsasi perlu memikul tanggungjawab bersama pasukan keselamatan untuk meningkatkan keberkesanan untuk memerangi jenayah.

Katanya, masyarakat tidak perlu berkhidmat di dalam pasukan polis atau menawarkan diri menjadi sukarelawan polis untuk menyedari kepentingan membanteras jenayah secara holistik.

Pada sambutan itu, Perdana Menteri memeriksa kawalan kehormatan dan menyaksikan perbarisan oleh kira-kira 2,000 pegawai dan anggota polis di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini Selasa.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Kenaikan Pangkat Secara Medan kepada 23 pegawai dan anggota polis.

Selasa, 25 Mac 2014

MH370: PM mahu polis siasat segenap sudut


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan rapi dari segenap sudut berhubung tragedi yang menimpa MH370.

Perdana Menteri berkata walaupun jawapan sebenar kepada misteri kehilangan pesawat itu hanya boleh diketahui melalui rakaman perbualan kokpit di dalam kotak hitam, namun mereka perlu komited dan profesional semasa menjalankan siasatan.

"Siasatan lain amat perlu dilakukan kerana keluarga mangsa mahukan jawapan segera. Ini merupakan satu tragedi besar dan menyayat hati Malaysia dan negara lain.

"Misi menjejaki pesawat MH370 dijalankan bersama PDRM, Angkatan Tentera Malaysia dan 26 buah negara, namun siasatan punca kejadian perlu dilakukan secara rapi bagi mengurangkan spekulasi," katanya dalam ucapan perasmian sambutan Peringatan Hari Polis ke-207 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak di sini, hari ini.

Dalam sidang akhbar malam tadi, Najib mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Sehubungan itu, polis juga telah mengambil keterangan lebih 50 individu bagi membantu siasatan kehilangan pesawat terbabit.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata antara yang sudah diambil keterangannya ialah staf Jabatan Penerbangan Awam, anggota Tentera Udara Diraja Malaysia selain anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370.

Siasatan masih berdasarkan kepada empat aspek yang diumum sebelum ini iaitu kemungkinan dirampas, sabotaj, keadaan psikologi dan masalah peribadi penumpang serta anak kapal.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac menuju Beijing, hilang daripada skrin radar sejam kemudian.


Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama

Isnin, 24 Mac 2014

SAMBUTAN HARI POLIS KE 207


 “Di sinilah bermulanya langkah perjuangan
Ikrar sang saka biru tersemat dalam menjunjung kalimah agong
Biarpun badai, guruh dan ribut melarat
Pasak panji tetap teguh demi petiwi
Setiap langkah dan gerak tindak tiada un...
dur kerna medan menjadi saksi
Kami sentiasa bersedia berkhidmat untuk masyarakat.
Selamat menyambut Peringatan Hari Polis ke-207”

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan Selamat Menyambut Peringatan Hari Polis Ke-207 kepada seluruh warga PDRM dan rakyat Malaysia.
#Polis207

'Komuniti Sejahtera, Komitmen Kami.'
LINK : https://www.youtube.com/watch?v=K1lgyBwxCWg
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...