Khamis, 31 Julai 2014

Cubaan letup 8 mesin ATM gagal


HULU SELANGOR 29 Julai - Dua penjenayah mengambil kesempatan cuti umum Hari Raya Aidilfitri untuk meletupkan lapan buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank menggunakan dua buah bom buatan sendiri dalam kejadian di Jalan Melati 2b, Bukit Beruntung, di sini hari ini.

Bagaimanapun usaha kedua-dua penjenayah itu gagal apabila salah satu daripada bom jenis phyrotechnic yang diperbuat daripada paip PVC itu tidak meletup dan hanya menyebabkan bahagian hadapan premis bank tersebut musnah sementara mesin ATM yang hendak dipecah tidak berjaya dibuka.

Utusan Malaysia difahamkan, kejadian letupan itu mengakibatkan bank berkenaan kerugian hampir RM500,000 akibat berlaku kerosakan teruk di beberapa bahagian seperti pintu cermin, mesin ATM, siling dan struktur bangunan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (Risikan dan Operasi), Asisten Komisioner Roslan Radzi berkata, siasatan awal polis mendapati dua bom tersebut dipasang di hadapan kawasan mesin ATM.

"Kita percaya bom itu diperbuat daripada bahan letupan buatan sendiri dan hanya satu yang meletup. Kita dapati wang tunai yang ada dalam mesin ATM tidak berjaya dilarikan penjenayah ekoran letupan itu tidak memusnahkan sepenuhnya mesin tersebut," katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Roslan, pihaknya sedang melakukan siasatan terperinci termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan suspek yang bertanggungjawab.

Dalam perkembangan sama, seorang individu yang dikenali sebagai David, 32, memberitahu, dia ada mendengar bunyi letupan kuat pada awal pagi ini namun hanya menyangka itu bunyi mercun.
"Sekarang tengah raya dan sana-sini ada orang bermain mercun. Jadi saya ingat bunyi mercun," katanya.

Sementara itu, satu skuad pemusnah bom telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memusnahkan satu lagi bom yang dijumpai di kawasan berdekatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...