Khamis, 3 Julai 2014

DADAH - 900 DITAHAN DI MUAR LAGI PENGEDAR DADAH DIBURU


Muar, 2 Julai - Polis Daerah Muar mencatat kejayaan memberangsangkan dengan tangkapan seramai 900 orang kerana terlibat dengan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah sepanjang enam bulan pertama tahun 2014.

Sepanjang tempuh tersebut sebanyak 401 operasi berkaitan dadah dijalankan di seluruh Daerah Muar yang turut menghasilkan tangkapan 359 penagih dadah. Antara kejayaan terbesar Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Muar adalah tangkapan pengedaran melibatkan rampasan 60 paun Dadah Heroin serta pistol.
Ketua Polis Daerah Muar, Acp Azman bin Ayob berkata, 'Sepanjang bulan Jun 2014 sahaja, kita telah menjalankan sebanyak 56 operasi yang menghasilkan 129 tangkapan dengan kesalahan dikesan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kita akan terus pertingkatkan operasi sebegini kerana ianya berkesan dalam menurunkan jenayah dan meningkatkan rasa selamat masyarakat', ketika ditemui dalam operasi pencegahan Jenayah dan Perjudian di sini pagi tadi.

Jenayah indeks Daerah Muar Johor telah menunjukkan trend yang menurun dengan angka penurunan yang signifikan melebihi 35 peratus, sementara pertuduhan kes-kes yang disiasat mencapai lebih 50 peratus. 'Ini menunjukkan terdapat korelasi positif antara jenayah dan aktiviti penyalahgunaan dadah di Daerah Muar', ujar beliau lagi.

Antara operasi yang dijalankan Ops Tapis, Ops Waran Tangkap, Ops Jaring dan Sekatan jalanraya yang diadakan setiap hari. Kesemua operasi melibatkan keseluruhan kekuatan pegawai dan anggota Polis Daerah Muar. Semua penugasan memberikan tumpuan membenteras dadah yang akhirnya akan membantu menurunkan jenayah dengan berkesan.

Dadah adalah najis yang merosakkan bangsa, keharmonian dan keamanan negara. Beliau menyeru semua pihak terus memberikan sokongan kepada Polis dalam usaha membenteras semua kegiatan dadah dan jenayah agar masyarakat dapat terus hidup dalam keadaan aman, tenang dan tenteram khususnya dalam menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...