Khamis, 3 Julai 2014

Jurutera program ditemui mati dirumahnya

JOHOR BAHRU - Seorang jurutera program di sebuah kilang ditemui mati di rumah sewanya di Taman Mount Austin, Setia Indah, dekat sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, mayat Pang Geok Ching, 41, ditemui oleh pengurus kilang yang datang ke rumahnya selepas mangsa gagal hadir di tempat kerja sejak Ahad.
Pengurus kilang itu yang datang ke rumah mangsa pada pukul tujuh malam ternampak mangsa terbaring dalam keadaan tertiarap ketika meninjau menerusi pintu gelongsor rumah dan mendapati pintu rumah berkunci dari dalam.
Menurut Sulaiman, pengurus kilang tersebut meminta bantuan polis yang berjaya membuka pintu rumah mangsa menggunakan kunci pendua yang diperoleh daripada pemilik rumah itu.

"Pihak forensik mengesahkan tiada sebarang kecederaan pada fizikal mangsa. Mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada 24 jam. Setakat ini siasatan tidak berunsur jenayah," kata Sulaiman.
Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kes itu. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...