Selasa, 8 Julai 2014

POLIS TAHAN PENGANGGUR DISYAKI TIPU TAWARAN KERJA DI QATAR


Kuching, 7 Julai - Polis menahan seorang penganggur disyaki menipu orang ramai dengan menjanjikan pekerjaan di Qatar dengan bayaran RM350, di sebuah rumah di Sri Aman, kira-kira 186 kilometer dari sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Supt Mohd Firdaus Abdullah berkata selain pekerjaan, lelaki berumur 27 tahun yang ditahan Jumaat lepas, turut menjanjikan wang tunai RM20,000 sebagai bayaran pendahuluan kepada mangsanya, kononnya akan dibayar sebelum berlepas ke Qatar.

"Polis menerima 23 aduan berhubung kes itu sejak awal bulan ini dan siasatan mendapati 256 orang berumur antara 18 dan 58 tahun sekitar Sri Aman, Betong dan Kuching menjadi mangsa penipuan suspek," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata penganggur yang berasal dari Sarikei itu dipercayai memulakan kegiatannya sejak April lepas dengan mengadakan sesi taklimat di kediamannya di Sri Aman, dengan menawarkan pekerjaan di Qatar kononnya dengan gaji 12 Euro sejam.

Katanya suspek ditahan reman sehingga esok.

Mohd Firdaus berkata polis turut merampas ratusan salinan kad pengenalan, salinan buku akaun bank, resit kemasukan wang serta gambar berukuran passport disyaki menjadi mangsa suspek, di rumah lelaki berkenaan.

Beliau seterusnya meminta orang ramai supaya berhati-hati dengan sebarang tawaran pekerjaan yang dirasakan terlalu lumayan kerana dikhuatiri manjadi mangsa penipuan, dan beliau turut menasihatkan pencari kerja supaya menggunakan saluran yang betul dalam usaha mencari kerja.

Menurutnya sebelum ini satu kes seumpama itu turut dikesan di Sibu beberapa bulan lepas, membabitkan seorang lelaki berumur 27 tahun yang ditahan kerana menipu kononnya ada pekerjaan di luar negara dengan gaji lumayan buat mereka yang berminat.- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...