Rumah penerbit dan pengarah Datuk Yusof Haslam dipecah masuk sekumpulan tiga lelaki bertopeng di Taman Melawati, Hulu Kelang, di Kuala Lumpur, awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang ACP Khairuldin Saat berkata kejadian pukul 2.30 pagi itu berlaku ketika Yusof sedang menonton televisyen sebelum terdengar jeritan pembantu rumahnya di tingkat bawah kediaman berkenaan.
Pengarah terkenal itu bergegas ke bilik dan mengambil pistol jenis Glock dan melepaskan satu das tembakan amaran ke arah tangga sebelum mendapati pintu gril rumahnya diumpil.
Hasil siasatan polis mendapati dua bilik di tingkat empat dalam keadaan berselerak akibat digeledah.
Khairuldin berkata, barang milik mangsa yang didapati hilang setakat ini ialah sebuah jam tangan serta sebentuk cincin. Nilai cincin itu dianggar bernilai RM10,000.
Menurutnya, hasil rakaman kamera litar tertutup di kediaman itu mendapati tiga suspek berkenaan berbadan kecil dan pendek serta tidak memakai sarung tangan.
Lima individu termasuk Yusof sendiri berada di rumah itu ketika kejadian. – Bernama, 7 Julai, 2014.