Selasa, 8 Julai 2014

Seorang Wanita Antara Lima Warga Vietnam Ditahan Pecah Masuk Kilang

Gambar hiasan
IPOH: Polis menahan lima warganegara Vietnam termasuk seorang wanita di kediaman mereka di Lengkok Bercham Timur kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah masuk kilang di Ipoh sejak tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Ahmad Termizi Abdul Haq berkata suspek yang berumur lingkungan 30-an itu ditahan pada pukul 1.30 pagi Isnin selepas polis menjalankan risikan dan memperoleh maklumat daripada orang awam.

Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui beberapa peralatan yang digunakan untuk merompak antaranya satu alat pemecah batu, satu alat pengukur besi, satu beg galas berwarna biru gelap dan alat pencucuh gas oxy warna kuning, katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Beliau berkata modus operandi kumpulan ini ialah memecah masuk ke premis yang mempunyai aspek keselamatan yang rendah sebelum menebuk peti besi di dalam kilang itu.
"Suspek bertindak menebuk lubang yang memuatkan tangan mereka untuk mengambil barangan berharga di dalam peti besi tersebut," katanya.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kumpulan itu dipercayai terlibat dalam dua kejadian pecah masuk kilang di Bercham pada minggu lepas.

Katanya kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mereka ditahan reman selama empat hari bermula Isnin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...