TELUK LIPAT - Polis narkotik Dungun berjaya menahan seorang pengedar dan merampas dadah jenis methampethamine (pil kuda) dalam satu serbuan di sebuah rumah, dekat sini, pagi kelmarin.
Kegiatan suspek yang tidak bekerja itu terbongkar selepas polis menerima maklumat rumah berkenaan sering menjadi tumpuan individu mencurigakan.
Bertindak atas maklumat
risikan, polis melancarkan operasi menyerbu lokasi terbabit kira-kira jam 12
tengah hari, kelmarin.
Selain 50 biji pil kuda
dalam plastik yang dirampas, polis turut menemui alat penimbang digital,
penyepit besi dan plastik kosong dipercayai peralatan digunakan untuk
membungkus dadah.
Kesemua peralatan tersebut
dirampas untuk dijadikan bahan bukti di mahkamah.
Suspek berusia 24 tahun
dan beralamat di Sura Hujung, dipercayai menjadikan rumah tersebut sebagai
makmal mini untuk membungkus dadah.
Dia juga disyaki antara
‘pusher’ yang popular dalam kalangan mat gian.
Hasil ujian saringan air
kencing, suspek yang masih bujang didapati positif dadah methampethamine dan
kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya.
Ketua Polis Daerah,
Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan kes terbabit dan pihaknya sedang
melengkapkan kertas siasatan sebelum menunggu laporan kimia untuk proses
pendakwaan di mahkamah.