KULAI JAYA – Dua penjenayah dipercayai warga asing
ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan kira-kira 500 meter dari Taman Rekreasi Hutan Bandar Putra di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.40 pagi itu, sepasukan
anggota polis yang sedang melakukan rondaan melihat sebuah kereta dalam keadaan
mencurigakan berhenti di sebatang jalan mati.
Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad berkata, empat
lelaki yang berada di dalam kereta jenis Proton Perdana berkenaan kemudian cuba
meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran anggota polis.
Menurutnya, salah seorang daripada penjenayah terbabit
turut bertindak melepaskan tembakan menggunakan senapang patah ke arah anggota
polis yang terkena pada cermin hadapan pacuan empat roda dinaiki anggota polis
terbabit.
“Keadaan ini memaksa polis membalas tembakan bagi
mempertahankan diri dan mengenai dua suspek manakala dua lagi penjenayah
berjaya melarikan diri di kawasan hutan berdekatan,” katanya kepada pemberita
di tempat kejadian semalam.