Jumaat, 26 Jun 2015

Hanya Bunga Api 'Pop-Pop', 'Happy Boom' Dibenarkan


KUALA TERENGGANU - Hanya bunga api jenis ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ sahaja dibenar dan diluluskan untuk dimainkan sepanjang musim perayaan tahun ini, demikian tegas Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman.

Menurut Rosli, ini kerana kedua-dua jenis bunga api berkenaan tidak berbahaya dan tidak boleh mendatangkan kecederaan kepada pengguna.

“Bagaimanapun, penjualan dua jenis bunga api tersebut perlu mendapat permit dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran.


“Sehingga kini, kita telah menerima 17 permohonan penjualan bunga api tersebut daripada orang awam dengan daerah Dungun mencatatkan permohonan paling tinggi iaitu sembilan, diikuti Besut (4), dan masing-masing dua di Marang dan Setiu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Terengganu di antara Asisten Komisioner Abd Halim Mohd Ishak dengan Superintendan Noorzainy Mohd Noor, di Ibu Pejabat Polis (IPK) Terengganu, semalam.

Menurutnya, jika peniaga gagal menuruti arahan yang dikeluarkan dan menjual mercun yang tidak dibenarkan, mereka boleh ditahan dan disabitkan kesalahan.

“Sekiranya individu yang didapati memiliki, menjual atau membeli atau bermain sebarang mercun atau bunga api selain yang dinyatakan ini, mereka akan diambil tindakan di bawah Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

“Individu itu boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” tegasnya.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini (dalam tempoh 1 hingga 8 Ramadan), tiada sebarang kes tangkapan atau rampasan mercun atau bunga api di negeri ini.

Bagaimanapun katanya, pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan tiada penjualan secara bebas bagi mercun atau bunga api yang tidak dibenarkan kepada orang ramai.

“Saya telah mengarahkan semua IPD agar menubuhkan satu pasukan khas pemantauan membanteras penjualan mercun dan bunga api pada musim perayaan ini,” katanya.
 
Selain itu katanya, polis turut mengharapkan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penjualan mercun secara haram ini supaya memaklumkan kepada IPD berhampiran.

Sumber: KLIK SINI


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...