SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) Selangor menahan reman tiga anggota polis Klang Utara dan Klang Selatan
hari ini bagi membantu siasatan kes menerima rasuah daripada seorang kontraktor
bergelar Datuk.
Ketiga-tiga mereka ditahan di pekarangan sebuah
restoran di Jalan Limau Gedung, Klang.
Mereka dipercayai menerima rasuah RM12,000 sebagai
dorongan melepaskan enam warga China yang ditahan.
Daripada tiga anggota polis itu seorang berpangkat
sarjan dan dua lagi lans koperal.
Seorang daripada mereka adalah wanita. Mereka
berusia antara 27 dan 57 tahun.
"Dua lelaki dan seorang perempuan anggota
polis dan enam perempuan warga China kerana dipercayai terlibat dalam kesalahan
di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," kata sumber kepada
Sinar Harian Online.
Difahamkan, keenam-enam warga China itu sepatutnya
dihantar ke Jabatan Imigresen Shah Alam tetapi diserahkan kepada pengadu yang
mendakwa diminta menyerahkan RM12,000 bagi melepaskan mereka.
Dipercayai tindakan diambil adalah untuk memenuhi
permintaan seorang lelaki Cina bergelar datuk.
"Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan
mereka ditahan reman antara satu hingga dua hari," kata sumber yang turut
memberitahu siasatan lanjut akan dijalankan oleh SPRM Selangor.
Enam wanita China itu ditahan dalam satu operasi di
pusat hiburan di Klang.