KUALA
LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar
berkata polis akan mengambil tindakan terhadap dua kumpulan yang terbabit dalam
pergaduhan di Plaza Low Yat, Bukit Bintang di sini, Sabtu.
Beliau
turut menafikan dakwaan dalam media sosial kononnya pergaduhan itu tercetus
akibat isu perkauman, sebaliknya hanya melibatkan pergaduhan dua pihak.
"PDRMsia
telah tangkap sebahagian mereka yang terlibat bergaduh semalam dan sedang kesan
yang lain. Biar polis ambil tindakan," katanya melalui akaun Twitter
beliau pada Ahad.
Khalid
juga mengesahkan keadaan di pusat perniagaan peralatan elektronik itu tenang
dan terkawal malam ini.
"Tiada
pergaduhan atau rusuhan. Jangan percaya khabar angin. Polis berkawal,"
katanya.
Sementara
itu, menurut wartawan Bernama yang membuat tinjauan di plaza tersebut malam
ini, dianggarkan beratus orang berkumpul di hadapan plaza itu sejak 8 malam
tadi, dipercayai rakan kepada individu yang ditahan polis selepas insiden
pergaduhan di plaza itu, semalam.
Semalam,
polis menahan seorang remaja lelaki berusia 22 tahun, dipercayai terlibat dalam
insiden pergaduhan di Plaza Low Yat.
Kejadian
pada 7.38 malam itu, dikatakan berpunca daripada perasaan tidak puas hati
suspek yang ditahan pegawai keselamatan Plaza Low Yat kerana dituduh mencuri
sebuah telefon bimbit.
Sementara
itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa ketika ditemui pemberita
malam ini, berkata polis menahan tiga lagi individu malam ini di plaza
berkenaan.
Mereka
yang ditahan berusia 22 hingga 25 tahun.
Beliau
berkata mereka ditahan selepas cuba melakukan provokasi dalam perhimpunan di
luar plaza berkenaan.
"Saya
bagi jaminan, pihak polis akan menjalankan siasatan yang telus dan adil
terhadap kedua-dua pihak.
"Orang
ramai dinasihatkan supaya tidak mendengar, percaya atau menyebarkan khabar
angin dalam media sosial yang tidak ada pengesahan daripada polis,"
katanya.-- BERNAMA