BATU
PAHAT – “Kau kenal aku tak?, Kau kenal aku tak?,” itu tengkingan seorang
daripada tiga suspek yang memecah masuk rumah seorang doktor sebuah hospital di
daerah ini, di Taman Pantai Baru, awal pagi semalam.
Dalam
kejadian kira-kira jam 6.45 pagi, doktor berkenaan, Mohd Nooh Sainorudin, 28,
sedang bersiap untuk ke tempat kerja dan tiba-tiba dia diacu objek dipercayai
pistol dari arah belakang.
Menurut
Mohd Nooh, dia yang ketakutan menurut kehendak dua daripada suspek berkenaan
yang bersenjatakan pistol dan parang, yang kemudiannya mengarah menyerahkan
semua barang berharga miliknya, sementara seorang lagi menunggu di dalam
kereta.
Katanya,
sebaik menyerahkan kunci motosikal berkuasa tinggi miliknya dia ditolak ke
bilik air, selain dihentak dengan pistol di kepala sehingga cedera.
“Saya
terkejut diacu pistol dari belakang dan kemudian diarah menyerahkan barangan
berharga.
“Kejadian
ini berlaku cukup singkat, kira-kira 10 minit sahaja dan suspek berjaya larikan
sebuah kereta Ford Fiesta, laptop, telefon bimbit, 10 utas jam tangan koleksi
saya serta dompet berisi wang tunai kira-kira RM800.
“Bagaimanapun
mereka gagal melarikan motosikal berkuasa tinggi milik saya kerana gagal
membuka kunci penduanya,” katanya ketika ditemui semalam.
Mohd
Nooh kini mendapat rawatan awal di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nora Ismail
(HSNI) dan kini masih ditahan di wad hospital sama.
Menurutnya,
yang masih trauma dengan kejadian berkenaan, dia dapat mengecam seorang suspek
yang merupakan penduduk tempatan kerana mereka tidak memakai topeng semasa
rompakan.
“Jika
bertemu suspek saya dapat mengecamnya, kerana mereka langsung tidak memakai
topeng,” katanya.
Sementara
itu, ayah mangsa, Sainorudin Mesbaki, 55, terkejut menerima panggilan anaknya
dirompak, memandangkan mereka bersahur bersama di rumahnya di Yong Peng pada
jam 5 pagi.
Dalam
pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata,
pihaknya masih melakukan siasatan berkaitan kes berkenaan.