Selasa, 14 Julai 2015

Rusuhan Plaza Low Yat: Polis nafi terima laporan suspek ditipu beli telefon


KUALA LUMPUR, 13 Julai: Polis menafikan laporan mengenai kejadian rusuhan yang berlaku di Plaza Low Yat, Sabtu lalu berpunca daripada penipuan pada urusniaga telefon seperti yang dilaporkan di media sosial.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa berkata, siasatan polis menjurus kepada kes kecurian dan suspek yang dikatakan ditipu tidak membuat laporan polis.

“Siasatan kami mendapati tiada kejadian penipuan namun akan menyiasat sekiranya ia benar.


“Kejadian ini tiada kaitan dengan isu perkauman dan siasatan yang dijalankan adalah tentang kecurian telefon,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Dalam kejadian Sabtu lalu, sekumpulan enam lelaki dikatakan mengamuk di Plaza Low Yat selepas seorang rakan mereka dituduh mencuri sebuah telefon bimbit.

Pada kejadian jam 7.50 malam itu, beberapa pekerja kedai telefon di plaza berkenaan dibelasah oleh kumpulan tersebut selain peralatan dan barangan di dalam kedai turut dirosakkan.

Isu perkauman timbul apabila lelaki yang didakwa mencuri itu adalah orang Melayu dan peniaga yang dikatakan menjual telefon tiruan itu berbangsa Cina.

Tajuddin berkata, susulan kejadian tersebut, 18 orang berusia 16 hingga 40 tahun ditahan termasuk empat orang yang disiasat akibat mencuri.

Menurutnya, salah seorang yang ditahan didapati positif dadah dan ditahan reman sehingga esok.

Katanya, mereka yang ditahan dipercayai turut terlibat dalam kejadian serangan ke atas sebuah kenderaan di Jalan Davis, Kampung Pandan kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

“Susulan kejadian itu, dua cedera dan tidak mengalami kecederaan serius.

“Dalam kejadian rusuhan itu, empat orang cedera termasuk tiga pengamal media,” katanya.

Beliau menegaskan kejadian awal berlaku di luar kedai Oppo sebelum suspek melarikan diri dan ditahan pekerja Oppo yang membantu.

“Saya nasihatkan orang ramai untuk berhenti menyebarkan laporan mengenai kejadian kerana boleh memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Tajuddin berkata, keadaan di Plaza Low Yat dan kawasan sekitar Bukit Bintang dalam keadaan terkawal dan polis telah menempatkan anggota untuk pemantauan dan kawalan.

“Buat sementara ini, keadaan masih terkawal dan terjamin. Premis dibenarkan dibuka dan orang ramai boleh melakukan aktiviti seperti biasa,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 379, 147, 427 dan 148 Kanun Keseksaan kerana mencuri, merusuh dan merusuh dengan senjata.

Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...