Gambar hiasan |
PADANG BESAR (Thailand): Tiga wanita terbunuh manakala dua
lagi cedera parah dalam letupan bom di hadapan sebuah pusat karaoke di pekan
Siam di sini malam Jumaat. Mereka yang
cedera sedang dirawat di Hospital Hatyai.
Menurut
Ketua Polis Padang Besar Choketawee Janthongon, dua mangsa terbunuh di tempat
kejadian termasuk pemilik karaoke itu yang berumur 43 tahun manakala seorang
meninggal dunia di hospital Hatyai pagi Sabtu.
Beliau yang
ditemui wartawan Malaysia di pekan Siam Padang Besar pada Sabtu hanya
mengesahkan mangsa yang lain berumur 28 hingga 40 tahun dan kesemuanya adalah
rakyat Thailand.
Katanya
kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam (waktu tempatan).
Letupan itu
merosakkan enam buah kereta, lima motosikal dan tujuh rumah kedai dua tingkat
berdekatan karaoke tersebut.
Sumber
memberitahu bom dipasang pada motosikal dan diletupkan dipercayai menggunakan
telefon bimbit tidak sampai 10 minit selepas diletakkan di hadapan karaoke itu.
Letupan itu
berlaku tidak lama selepas beberapa siri letupan di Golok malam Jumaat.
Semasa
sekumpulan wartawan dan jurugambar Malaysia tiba, pasukan polis forensik
Thailand sedang mengumpul bahan-bahan bukti di tempat kejadian.
Seorang
pemilik rumah kedai dua tingkat yang berhadapan karaoke itu yang hanya mahu
dikenali sebagai Tuan Jo, 48, berkata beliau baru melangkah keluar tidak sampai
100 meter dari premisnya apabila letupan itu berlaku.
"Saya
berlari balik dan melihat beberapa wanita bergelimpangan dalam karaoke itu yang
beroperasi tidak sampai tujuh bulan. Rumah kedai saya turut terkena serpihan
bom akibat letupan itu," katanya.
Jiran beliau
berselang dua pintu yang mengadap karaoke itu, Kanika Ruang Song, 65, berkata
beliau terdengar letupan kuat semasa berada di satu lagi kedai miliknya di
bahagian belakang.
"Saya
takut untuk datang melihat.... letupan kuat itu mesti bom. Pagi ini saya lihat
cermin belakang kereta Honda CRV anak saya pecah manakala serpihan bom mengenai
bahagian hadapan rumah kedai," katanya dalam bahasa Melayu.
Penduduk
tempatan Haji Hassan, 62, berkata dia sedang menunaikan solat tarawih di masjid
pekan Siam kira-kira 800 meter dari tempat kejadian apabila terdengar satu
bunyi letupan kuat kira-kira pukul 8.30 malam.
Sumber: KLIK DISINI