Sabtu, 10 Oktober 2015

Dua anggota kastam kritikal, cuba dibunuh tonto


PADANG BESAR, 9 Oktober:

Dua penguatkuasa kastam Padang Besar parah, manakala seorang lagi cedera ringan, apabila kenderaan mereka dirempuh sebuah kereta dipercayai milik tonto yang diupah penyeludup di Kilometer 24, Jalan Titi Tinggi-Padang Besar, pagi tadi.

Pengarah Kastam Perlis, Kamaruddin Jaafar berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.15 pagi Jumaat.

“Ia menyebabkan anggota, Mohd Safawi Rosdi, 27, yang duduk di bahagian belakang tercampak keluar, manakala Mat Zohir Mohd Saad, 47, yang duduk di hadapan cedera parah di kepala. Kedua-duanya kini dalam keadaan kritikal.


“Pemandu, Abdullah Ayob, 36, pula cedera di pipi dan dada,” katanya ketika melawat mangsa itu di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Mohd Safawi kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, di Alor Setar, Kedah.

Kamaruddin berkata, anggota tersebut yang menaiki MPV Honda Odyssey, sedang mengekori tiga kenderaan pikap Thai yang disyaki menyeludup rokok dan arak, menghala ke arah Kangar dari Padang Besar.

Sebuah pasukan lain mengekori jauh di belakang, katanya.

“Kereta mereka dirempuh sebanyak dua kali oleh kereta Proton Perdana tersebut, sehingga menyebabkannya terbabas dan melanggar sebuah pondok bas,” tambahnya.

Kamaruddin berkata, kereta Proton Perdana terbabit dilihat memecut ke arah Kangar.

Beliau berkata, empat anggota kastam yang mengekori dari belakang memberi bantuan kepada rakan-rakan mereka.

“Perbuatan tonto terbabit berupa cubaan membunuh, kerana anggota kastam sebelum ini pernah menerima ugutan bunuh daripada sindiket penyeludupan, namun hari ini, mereka nekad melakukannya sehingga anggota-anggota saya cedera parah.

“Namun, tindakan tonto tidak melemahkan semangat kami untuk terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Kamaruddin berkata, pihaknya menyerah kepada polis untuk menyiasat.


Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Rizani Che Ismail berkata, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan bagi menjejaki pelakunya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...