Agensi yang berkaitan dalam kerajaan perlu proaktif
menggunakan pendekatan "counter narrative" untuk mengekang pengaruh
Kumpulan Negara Islam (IS) dalam laman sosial terutama terhadap golongan muda
dan pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini.
Penolong Pengarah Bahagian Counter
Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, SAC Dato' Ayub Khan Mydin Pitchay berkata
ini kerana kumpulan IS menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan
mesej mereka, memberi inspirasi kepada pengikut dan merekrut anggota baru.
"Kalau kita hendak berperang
dengan ideologi IS, aspek 'counter narrative' ini penting. Kita perlu counter
balik ideologi yang diwar-warkan oleh media sosial mereka seperti perlu
berjihad dan berhijrah dari Malaysia untuk ke negara Islam (Syria).
"Perkara-perkara inilah yang perlu
diperbetulkan oleh golongan cerdik pandai agama. Kita kena terangkan konsep
hijrah yang betul dan apa itu jihad. Perkara ini perlu dijelaskan dengan
terperinci agar umat Islam faham apa yang dilakukan oleh IS itu bukan yang
dituntut oleh Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan
penerangan Ancaman Keselamatan Dalam Negara: Pengaruh Terrorisme Antarabangsa
di Universiti Malaysia Pahang di sini.
Ayub Khan berkata IS menggunakan media
sosial semaksimum mungkin dengan menggerakkan beribu-ribu tentera siber mereka
yang proaktif di seluruh negara untuk bergerak sendirian tanpa berbayar bagi
menyebarkan fahaman kumpulan itu.
Sehubungan itu katanya, usaha bersepadu
"counter narrative" perlu dilakukan melibatkan pelbagai agensi dan
bukan hanya pihak polis sahaja jika mahu mengekang kumpulan ekstremis itu
daripada menyebarkan pengaruh mereka di negara ini.
Menurutnya, pihak polis dalam usaha
menyedarkan golongan pelajar serta rakyat di negara ini tentang bahaya ancaman
IS sendiri dengan mengadakan beberapa siri ceramah di institusi pengajian
tinggi dan masjid di negara ini.
Katanya kebanyakan golongan muda dan
pelajar, terutama yang
mempunyai masalah keluarga serta cetek pengetahuan agama mudah terpengaruh
dengan fahaman kumpulan itu apabila dijanjikan dengan tawaran seperti mati syahid
(jalan singkat ke syurga) serta boleh berkahwin secara mutaah.
Manakala golongan wanita pula didapati
cenderung menyertai kumpulan ini kerana tertarik dengan ketampanan wajah
"mujahidin" kumpulan itu dan ditawarkan menjadi isteri mereka, tambah
beliau.
Ayub Khan berkata, paling membimbangkan
trend terbaru mendapati ada kalangan rakyat di negara ini yang terpengaruh
dengan fahaman kumpulan tersebut membawa bersama anggota keluarga mereka
termasuk anak mereka berhijrah ke Syria semata-mata kononnya kerana Malaysia
adalah negara "thagut" (tidak melaksanakan ajaran Islam).
Beliau menjelaskan Feb 2013 sehingga
Jun tahun ini, pihak polis telah menahan seramai 122 orang di negara ini
termasuk 105 rakyat tempatan yang dipercayai terlibat dengan aktivti keganasan.
Pada masa sama, katanya pihak polis
juga sedang mengawasi 20 laman sesawang dan Facebook di negara ini yang
didapati cuba merekrut rakyat di negara ini untuk menyertai perjuangan kumpulan
itu.- BERNAMA