KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini
berada di tahap siap siaga optimum dengan penambahan kekuatan anggota bagi menghadapi kemungkinan berlaku keganasan menjelang Sidang
Kemuncak ASEAN ke-27 minggu depan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi berkata sebagai tuan rumah persidangan itu, keselamatan
setiap pemimpin negara-negara ASEAN dan rakan dialog menjadi keutamaan.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam
Negeri, berkata PDRM khususnya Bahagian Counter Terrorism kini lebih
berhati-hati dan berwaspada terhadap apa jua aktiviti yang disyaki membabitkan
keganasan.
"PDRM telah menggerakkan apa yang
patut... beri sokongan kepada agensi keselamatan kita.
"(Saya) minta tolong rakyat
bekerjasama sampaikan maklumat (aktiviti keganasan) kepada Kementerian Dalam
Negeri (KDN) jika ada," katanya pada sidang media selepas merasmikan
perhimpunan agung tergempar Parti Progresif Penduduk (PPP) 2015 dan penjenamaan
semula PPP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini Ahad.
Malaysia, yang merupakan Pengerusi ASEAN,
akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan sidang kemuncak berkaitan
mulai 18 hingga 22 Nov di ibu negara.
Ahmad Zahid berkata mana-mana pihak yang
didapati terbabit dengan aktiviti keganasan tertakluk di bawah undang-undang
termasuk Akta Kesalahan-Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(SOSMA) 2012, Akta Pencegahan Keganasan
(POTA) dan Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan
Perdana Menteri mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden
keganasan di Paris dan kerajaan tidak berhasrat memanggil mereka pulang.
Ditanya adakah pihak Perancis meminta
sebarang bantuan kepakaran daripada Malaysia mengenai insiden serangan
keganasan itu, beliau berkata setakat ini belum ada permintaan.
Menurut laporan, lebih 100 orang terbunuh
dan ratusan cedera dalam siri serangan pada Jumaat malam melibatkan sebuah
dewan konsert, restoran-restoran di pusat bandar dan berdekatan Stadium Stade
de France.
Ahmad Zahid berkata Malaysia, yang dipilih sebagai Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi pada Oktober lepas, akan meningkatkan keupayaan untuk mengesan individu-individu terlibat dengan serangan keganasan jika ada yang berlindung di negara ini.
Ahmad Zahid berkata Malaysia, yang dipilih sebagai Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi pada Oktober lepas, akan meningkatkan keupayaan untuk mengesan individu-individu terlibat dengan serangan keganasan jika ada yang berlindung di negara ini.
Mengenai penjenamaan semula PPP, beliau
berharap parti komponen Barisan Nasional (BN) itu yang kini dikenali sebagai
myPPP, dapat menarik lebih banyak keanggotaan daripada pelbagai kaum dan latar
belakang.
"Pastikan ahli-ahli myPPP adalah
tulen dan bukan daripada parti lain dalam BN kerana kita mahu lebih sokongan
daripada ahli baharu myPPP, BN akan menjadi lebih kuat," katanya.
Ahmad Zahid berkata setiap kepimpinan
parti itu juga harus bergerak secara bersama dan sentiasa turun ke peringkat
akar umbi tanpa mengira musim pilihan raya atau tidak.- BERNAMA