Ahad, 15 November 2015

RASUAH: Pengarah Imigresen Perak, Penolong Penguatkuasa di Reman

IPOH, 15 Nov (Bernama) -- Pengarah Imigresen Negeri Perak dan seorang penolong penguatkuasa jabatan berkenaan, yang ditahan reman sejak Khamis lepas kerana disyaki menerima dan meminta rasuah daripada pemilik sebuah pusat hiburan di Sitiawan, dibebaskan hari ini.

Peguam Mohamed Yazzer Azzad Zainudin, yang mewakili kedua-dua suspek, berkata mereka dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


"Kesemua mereka ditahan reman selama empat hari dan berakhir hari ini. Mereka dibebaskan selepas pihak SPRM selesai mengambil keterangan dan menjalankan siasatan terhadap mereka," katanya ketika dihubungi Bernama Ahad.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman kedua-dua suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu meminta dan menerima rasuah.

Seksyen 17(a) Akta SPRM memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Bernama.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...