Isnin, 11 Januari 2016

Balai Polis Gambang naib juara BLT

KUANTAN - Kecemerlangan Balai Polis Gambang, di sini diiktiraf apabila dinobatkan sebagai naib juara Balai League Table (BLT) Kategori D 2015.

Majlis penyerahan hadiah kemenangan itu disempurnakan oleh Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Abd Ghani, kelmarin.

Setiap anggota balai berkenaan berkongsi hadiah kemenangan berupa wang tunai berjumlah RM18,500.

Sharifuddin berkata, kejayaan Balai Polis Gambang itu hasil hubungan erat antara polis dan masyarakat menerusi program kemasyarakatan berkonsepkan Community Policing atau High Profile Policing secara agresif.


Menurutnya, Anugerah BLT merupakan acara tahunan bagi mengiktiraf balai-balai cemerlang yang melaksanakan Inisiatif Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Program Tranformasi Kerajaan.

“Pertandingan kali ini telah ditambah nilai supaya lebih efektif dengan memperkenalkan penilaian di peringkat saringan berbentuk kuantitatif.

“Manakala penilaian di peringkat akhir lebih berbentuk kualitatif ke atas 33 balai daripada 14 kontinjen yang bertanding,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian hadiah BLT 2015, di sini kelmarin.

Beliau berkata, semua anggota polis Balai Gambang yang diterajui Sub Inspektor Pauzi Ahmad diharapkan supaya mengekalkan kecemerlangan dalam tugasan seharian terutama daripada aspek penurunan kadar jenayah pada masa akan datang.


Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...