SIBU: Polis Sibu
menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes tembak mati seorang lelaki di
sebuah restoran di Jalan Long Bridge di sini Sabtu malam.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Mohd Kamal
Kordi berkata, mereka ditahan sekitar pukul 2.30 pagi di bandar ini namun tidak
menyatakan lokasi sebenar penahanan itu dibuat.
"Tiada senjata yang dijumpai," katanya
ketika dihubungi di sini, Ahad.
Menurut beliau, pihaknya masih menyiasat motif
serangan yang menyebabkan kematian lelaki berusia 30 tahun itu dan kecederaan
ke atas teman wanitanya yang merupakan warganegara China.
Namun beliau tidak menolak kejadian adalah berpunca
daripada persaingan perniagaan dan perebutan kawasan berkaitan kongsi gelap.
Dalam kejadian pada 11.09 malam itu, mangsa bersama
teman wanita dan seorang pengawal peribadi baharu selesai makan di restoran
tersebut.
Mereka dikatakan baru hendak beredar dari situ
apabila sebuah Toyota Hilux berwarna putih berhenti dengan tiba-tiba tidak jauh
dari mereka dan pemandunya mengeluarkan senapang patah dan melepaskan tembakan.
Selepas tembakan pertama, pengawal peribadi itu
terus mengeluarkan pistolnya dan membalas dengan lima das tembakan ke arah
Hilux itu.
Penyerang tersebut melepaskan dua das tembakan lagi
ke arah mangsa sebelum memecut meninggalkan tempat itu menggunakan Jalan Lanang
dan melepaskan tembakan di sebuah simpang tiga bagi melepasi lampu isyarat
merah.
Mangsa berusia 30an itu meninggal dunia di sebuah
hospital swasta di sini pada 12.31 pagi ini berikutan kesan tembakan di dada
kiri, bahu kiri dan di belakang.
Teman wanitanya cedera di bahu dan pergelangan
tangan kiri serta dibawa ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan.
Pengawal peribadi itu sempat melihat tiga lelaki di
dalam kenderaan tersebut dan percaya tembakannya mengenai salah seorang
daripada mereka.
Kes diklasifikasikan sebagai bunuh di bawah Seksyen
302 Kanun Keseksaan.
Mohd Kamal menyeru orang ramai yang mempunyai
maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Balai Polis Sentral Sibu di
talian 084-336144 atau datang sendiri ke mana-mana balai polis berdekatan. --
Bernama