Khamis, 14 Januari 2016

Dua Pengebom Berani Mati Sah Rakyat Malaysia

PETALING JAYA, 13 Jan (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mengesahkan dua pengebom berani mati yang terbabit dalam kejadian serangan militan di Iraq dan Syria baru-baru ini adalah rakyat Malaysia.

"Sebelum ini ada seorang rakyat kita terbabit dalam serangan bom. Sekarang dua orang lagi. Setakat ini tiga rakyat Malaysia terbabit dalam kes serangan bom.

"Mereka ini bukan sahaja tidak takut untuk mati tetapi berhasrat untuk melakukan sesuatu perkara yang orang tidak terfikir hendak buat," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penerimaan pesawat kedua A400M dan Hangar A400M di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang dekat sini.


Hishammuddin bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung identiti kedua-dua pengebom itu.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis masih menunggu laporan rasmi pengesahan identiti dua pengebom berani mati dalam kejadian di Iraq dan Syria yang didakwa rakyat Malaysia.

Menurut laporan berita Isnin lepas, dua rakyat Malaysia meletupkan diri mereka sendiri, menyebabkan lebih 30 orang di Syria dan Iraq maut.

Mohd Amirul Ahmad Rahim, 26, yang berasal dari Terengganu, meletupkan bom yang berada padanya dalam sebuah kereta semasa pertempuran di kubu kumpulan pengganas Daesh di Raqqa, Syria pada 29 Dis, menurut laporan itu.

Mohamad Shazwan Mohd Salim, 31, yang melaksanakan misi pada malam 3 Jan, ialah seorang daripada tujuh pengebom berani mati yang menyusup ke pusat latihan polis di pangkalan tentera Speicher, kira-kira 160km ke utara Baghdad, Iraq.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...