Khamis, 14 Januari 2016

Mayat lelaki lengkap berpakaian dan kepala pecah ditemui

BANTING - Satu mayat lelaki lengkap berpakaian dijumpai terapung dalam keadaan kepalanya pecah berhampiran Sungai Langat, Kampung Teluk Bunut, di sini pagi tadi.

Mayat tersebut ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 11 pagi di tepi sungai berkenaan.

Namun, disebabkan oleh arus sungai yang deras, pihak bomba hanya berjaya menemui semula mayat berkenaan kira-kira pukul 5.15 petang selepas dihanyutkan lebih empat kilometer dari lokasi awal ia dijumpai orang awam.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Jazlizad Jalil berkata, ketika ditemui mayat terbabit berada dalam keadaan meniarap ditebing sungai berkenaan dengan sebahagian kepalanya pecah, namun lengkap berpakaian.

"Kita tidak dapat mengenali identiti mayat lelaki berkenaan kerana tiada sebarang dokumen dijumpai bersama mayat itu. Lelaki terbabit hanya memakai seluar jeans dan baju T berwarna hitam.

"Kita percaya mayat yang dijumpai ini sudah meninggal dunia lebih daripada tiga hari berdasarkan bentuk fizikal dan keadaan mayat," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurut Jazlizad, pihaknya menghadapi sedikit kesukaran untuk menaikkan mayat itu ke atas darat kerana arus sungai yang deras dan terpaksa menyusuri sungai berkenaan hampir enam jam kerana mayat tersebut telah di bawa arus.

"Kita menerima laporan oleh orang awam tentang penemuan mayat ini kira-kira pukul 11 pagi, namun kerana arus deras mayat tersebut dihanyutkan lebih empat kilomter daripada lokasi asal penemuan.

"Kita berjaya menemui mayat berkenaan pukul 5.15 dan berjaya menaikkan mayat itu kira-kira pukul 5.50 petang iaitu kira-kira enam jam selepas dia dihanyutkan. Mayat itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," jelasnya. - K! ONLINE
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...