Isnin, 4 Januari 2016

Taktik judi siber di rumah kayu terbongkar

MIRI 3 Jan. Taktik sindiket perjudian siber cuba menyembunyikan kegiatan haram mereka dengan beroperasi di sebuah rumah kayu yang diubah suai di kawasan pedalaman di Batu 42, Jalan Bintulu-Miri, Niah di sini, gagal apabila premis mereka diserbu polis semalam.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri pada pukul 5.15 pagi itu membawa kepada penahanan 17 lelaki dan seorang wanita berusia 22 hingga 40 tahun.

Selain itu, polis turut merampas 18 unit komputer dan peralatan yang digunakan untuk aktiviti perjudian bernilai RM35,000 dan wang tunai RM305 di premis berkenaan.


Ketua JSJ negeri, Senior Asisten Komisioner M.S.S. Dev Kumar berkata, wanita berusia 38 tahun yang ditahan dalam serbuan itu merupakan pemilik rumah dan menjaga premis perjudian siber berkenaan.

“Dipercayai pusat perjudian siber ini baru beroperasi dalam masa sebulan atau dua bulan.

“Polis berjaya mengesan kegiatan haram di rumah kayu yang sudah diubah suai dan terletak di kawasan terpencil ini selepas menjalankan risikan sebaik sahaja menerima maklumat diberikan oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pihak polis sedar pada masa kini, sindiket yang menjalankan perjudian siber menggunakan taktik menukar ‘sarang’ dengan memilih beroperasi di kawasan pedalaman bagi mengelak dikesan.

Bagaimanapun, katanya, beliau memberi jaminan bahawa JSJ negeri akan menggempur habis-habisan pusat perjudian haram di negeri ini berikutan saranan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman yang mahu negeri ini bebas daripada aktiviti perjudian siber dan mesin slot.

Dalam pada itu, Dev Kumar memberitahu, sepanjang tahun lalu, sebanyak 565 serbuan membabitkan pusat perjudian siber telah dijalankan di seluruh negeri ini yang membawa kepada penangkapan 2,586 individu.

“Hasil serbuan itu, kita telah merampas 9,140 unit komputer bernilai RM15 juta dan wang tunai RM205,000.

“Kesemua individu ditahan disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, manakala komputer dirampas telah dilupuskan oleh pihak polis atas perintah mahkamah,” katanya.


Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...