PETALING JAYA, 5 Feb (Bernama) -- Individu yang menyebar atau
mengaibkan gambar pemimpin negara bakal berdepan dengan tindakan undang-undang
di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata akta
berkenaan melarang pengguna media sosial menyalah guna kemudahan untuk tujuan
memburukkan individu tertentu.
"Saya memberi amaran kepada pengguna media sosial yang berbuat
sedemikian dengan tujuan menggunakan platform komunikasi itu bagi tujuan
mengancam dan memburukkan orang lain khususnya pemimpin negara," katanya
dalam sidang media sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Op Selamat 8/2016 di
Plaza Tol Litrak di sini, Jumaat.
Noor Rashid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai karikatur
badut yang memaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang
tersebar di media sosial baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau berkata polis juga akan menyiasat dan mengambil
tindakan terhadap pengguna laman sosial yang mengugut untuk melancarkan
serangan bom di sekitar ibu negara termasuk kediaman Perdana Menteri.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata mana-mana pihak yang
mendatangkan kecederaaan kepada individu lain sama ada warga tempatan atau
warga asing akan dikenakan tindakan.
"Warga asing dan penduduk negara ini semuanya tertakluk kepada
undang-undang, jika seseorang itu mendatangkan kecederaan sesuka hatinya tidak
kira kepada kenalannya atau bukan, ia tetap menjadi satu kesalahan,"
katanya.
Noor Rashid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakaman
video berdurasi empat minit yang menunjukkan seorang warga Pakistan dipukul
oleh penulis blog kontroversi 'Papagomo' yang menjadi viral di media sosial.-
BERNAMA