RANTAU PANJANG – Seorang guru sekolah rendah ditemui
mati dengan kesan kecederaan pada muka dan kepala di Sungai Golok
berdekatan Pengkalan Jambu, Narathiwat, Thailand semalam.
Mayat Azami Mohamed, 38, yang merupakan guru di
Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Mengkebang, Kuala Krai ditemui terapung dan
berpakaian lengkap oleh pihak berkuasa negara itu pada pukul 9 pagi.
Difahamkan, sebelum ditemui mati, Azami yang merupakan
guru pendidikan khas itu sudah beberapa hari tidak hadir bertugas kerana
didakwa mempunyai masalah peribadi.
Bapa mangsa, Mohamed Ibrahim, 78, seorang penoreh
getah berkata, dia tidak mengetahui tujuan anaknya yang masih bujang ke negara
jiran kerana mangsa sudah lama tidak pulang ke rumah sebelum itu.
“Saya mengetahui anak saya ditemui sudah meninggal
dunia setelah dimaklumkan oleh pihak polis semalam (hari ini).
“Saya dan isteri, Zaharah Mohamad, 70, tidak menyangka
anak saya ditemui dalam keadaan sedemikan rupa,” kata warga emas itu di sini
semalam.
Mohamed yang terkilan dengan kejadian itu berharap
pihak polis dapat menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca anaknya
disyaki dibunuh sebelum mayatnya dibuang ke sungai.
Sumber: KLIK DISINI