IPOH – Seorang isteri muda maut dipercayai dibelasah
suaminya selepas pasangan tersebut bergaduh mengenai masalah rumah tangga
mereka di Ladang Sengat, Simpang Pulai di sini semalam.
Mangsa, S. Durga Devi, 17, dijumpai dalam keadaan
terbaring dengan kesan kecederaan di muka di ruang tamu rumahnya kira-kira
pukul 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang
Keong berkata, pemeriksaan awal pada mayat suri rumah itu mendapati kecederaan
dialami mangsa dipercayai akibat ditumbuk.
Menurut beliau, semasa kejadian, wanita malang itu
hanya tinggal berdua dengan suaminya yang bekerja sebagai seorang buruh di
rumah bapa lelaki terbabit sejak pasangan itu berkahwin setahun lalu.
“Berdasarkan maklumat jiran, mereka terdengar bunyi
pergaduhan dari rumah pasangan tersebut.
“Pergaduhan dipercayai berpunca daripada masalah
keluarga bermula tengah malam kelmarin dan berlarutan sehingga sekitar pukul 5
pagi semalam,” kata beliau ketika dihubung Kosmo! semalam.