Selasa, 16 Februari 2016

Polis Tahan Tiga Lelaki Warga Indonesia Bantu Siasatan Kes Rompakan

KUCHING, 16 Feb (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki warga negara Indonesia berusia antara 24 dan 26 tahun bagi membantu siasatan kes rompakan di rumah seorang ahli perniagaan di Jalan Pusataka, Petra Jaya pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan dan ketiga-tiga suspek dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, ahli perniagaan terbabit serta isteri dan tiga anaknya diikat oleh perompak bersenjata sebelum rumah mereka digeledah dan barangan serta wang tunai bernilai RM60,000 telah dilarikan perompak.


Hasil risikan, pihak polis berjaya menangkap tiga suspek terbabit pada kira-kira pukul 5 petang semalam ketika membuat serbuan di sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan yang tidak jauh dari rumah mangsa, katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Ibu pejabat Polis Daerah Kuching di sini Selasa.

"Ketiga-tiga lelaki terbabit didapati memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah. Kita berharap dengan tertangkapnya suspek kita dapat menyelesaikan kes tersebut secepat mungkin dan kita juga sedang menyiasat sama ada ketiga-tiga suspek turut terlibat dengan kes-kes rompakan yang berlaku di sini sebelum ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes berkenaan supaya tampil di balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, Roslan berkata pihak polis akan terus memantau tapak-tapak pembinaan untuk mengesan pekerja-pekerja sebagai langkah pencegahan jenayah.


Sementara itu, Roslan berkata IPD Kucing berjaya menurunkan kadar indeks jenayah dari Januari hingga semalam sebanyak, 11.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...