Ahad, 22 Mei 2016

AADK tahan 56 penagih dadah

DUNGUN - Penagih dadah sanggup melakukan apa sahaja termasuk terjun laut demi meloloskan diri daripada tangkapan pihak berkuasa semasa Ops Gempur Sarang yang digerakkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sekitar Daerah Dungun.

Operasi selama tiga hari berakhir Khamis lalu menyasarkan sarang penagih dadah untuk melepaskan gian termasuk di Jeti Perikanan Bandar Paka dan Dungun, ladang kelapa sawit Ketengah Jaya dan beberapa lokasi panas lain.

Ketua Cawangan Penguatkuasaan AADK Negeri Terengganu, Mohamad C' Ismail memaklumkan, seramai 56 penagih dadah berjaya ditahan pada operasi berkenaan yang dilaksanakan untuk mengekang aktiviti penagihan dadah di negeri ini.


"Operasi kali ini menyasarkan kawasan utama yang dijadikan sarang penagihan dadah. Seramai 63 anggota terdiri daripada AADK, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kita turut terima bantuan masyarakat setempat.

"Dalam serbuan di ladang kelapa sawit Bandar Ketengah Jaya dan Felda Rasau, seramai 31 penagih yang menjadikan ladang tersebut sebagai tempat melepaskan gian telah ditahan," katanya.

Menurutnya, serbuan di Bandar Paka dan Jeti Lembaga Kemjuan Ikan Malaysia (LKIM), pihaknya telah berjaya memberkas seramai 25 penagih dadah yang kebanyakannya merupakan nelayan.

Tambahnya, pelbagai cara digunakan oleh penagih dadah untuk melepaskan diri dari tangkapan sehingga ada yang sanggup bergadai nyawa dengan terjun ke dalam laut, namun tidak berjaya berikutan kecekapan anggota Maritim.

"Berlaku juga insiden pergelutan dan kejar mengejar ketika serbuan dilakukan tetapi pasukan kita lebih cekap. Kita juga mengesan taktik baharu digunakan penagih dadah untuk memperdayakan pihak berkuasa.

"Antaranya, penagih memasuki kawasan ladang pada waktu malam dan tidur di sana bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa serta memudahkan mereka mendapat bekalan daripada pembekal yang dipercayai masuk ke kawasan itu pada waktu Subuh," katanya.

Katanya, ujian air kencing ke atas semua penagih berusia 18 hingga 60 tahun mendapati 26 individu positif dadah jenis methapethamine dan 39 individu positif morfin.

"Seramai 51 penagih akan di dakwa di bawah Seksyen 31(1) Akta Pencegahan Dadah dan Seksyen 8(3)(a) akta sama, manakala lima lagi diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk tindakan lanjut.

“Operasi berskala besar ini akan diteruskan pada masa-masa akan datang bagi mencegah aktiviti penagihan dadah berleluasa,” katanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...