Selasa, 24 Mei 2016

Polis Tahan Empat Lelaki, Rampas 12 Ekor Lembu Curi

KUANTAN: Polis menahan empat lelaki dan merampas 12 ekor lembu yang disyaki dicuri mereka dalam dua serbuan sejak Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superitendan Abdul Razak Hassan berkata, turut dirampas sebuah Proton Wira, sebuah lori dan wang tunai RM2,550.
Katanya, suspek dipercayai aktif mencuri lembu di sekitar daerah Kuala Lipis. 
"Terdahulu, polis menerima aduan daripada seorang mangsa lelaki berusia 60, yang memaklumkan dua ekor lembunya hilang dari kandang di Felda Chegar Perah, Kuala Lipis pada petang Jumaat lepas. 
"Bertindak atas maklumat itu polis berjaya menahan seorang lelaki, 47, di hadapan sebuah kedai makan dekat Jalan Kampung Kubang Rusa, Merapoh lebih kurang pukul 3.30 petang keesokan harinya (Sabtu)," katanya ketika dihubungi, Selasa. 

Beliau berkata hasil soal siasat, suspek telah membawa polis ke sebuah kandang di Kampung Gua Kalong, Merapoh dan berjaya merampas 12 ekor lembu yang dipercayai dicuri.
Suspek memaklumkan kesemua lembu itu dibawa oleh tiga lagi rakannya ke kandang itu. 
Abdul Razak berkata, susulan itu polis turut menahan tiga lelaki berusia lingkungan 22 hingga 55 tahun yang menaiki Proton Wira berkenaan di Kilometer 93 Jalan Lipis-Merapoh, Kuala lipis pada pukul 12.30 tengah malam semalam. 
"Kesemua suspek itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lipis untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya. -- Bernama


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...