Selasa, 24 Mei 2016

Polis Tembak Mati Lelaki Disyaki Pengedar Dadah

TASEK GELUGOR: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah ditembak mati selepas berbalas tembak dengan polis di kawasan paya di Ara Kuda, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Azmi Adam berkata polis mengekori
kereta Proton Wira yang dipandu lelaki itu yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan Ladang Malakof di sini.

Selepas kira-kira lima kilometer mengekori kereta itu, lelaki terbabit membelok memasuki kawasan paya yang juga jalan mati sebelum keluar dari kereta dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis yang mengekorinya.

"Dua daripada tembakan lelaki terbabit dalam kejadian pada
pukul 4.15 petang itu mengenai kenderaan polis menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan balas ke arah lelaki terbabit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini. 


Azmi berkata polis menemui sepucuk pistol dan 42 gram dadah jenis heroin dan tiga gram syabu dalam poket seluar lelaki terbabit.

Beliau berkata tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada lelaki yang dipercayai rakyat tempatan dan berumur dalam lingkungan 30-an itu.

"Setakat ini, polis belum dapat mengenal pasti identiti lelaki itu dan kami juga sedang mengesan pemilik kereta yang digunakan dalam kejadian itu," katanya.

Azmi berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.-Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...