KUALA TERENGGANU- Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara setahun kerana
mengugut mahu menikam ibu kandungnya dengan sebilah golok oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di
sini, semalam.
Keputusan
dibuat selepas Tuan Mohd Ruzilani Tuan Daud, 27, dari
Chendering, di sini, mengaku salah melakukan ugutan jenayah dengan
mengacukan sebilah golok kepada ibunya yang berusia 66 tahun.
Dia
mengaku salah melakukan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu di
kediaman mereka di Chendering, kira-kira jam 2 pagi, pada 7 Mei lalu.
Pendakwaan
dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret
Abdul Hayyi Salim.
Berdasarkan
fakta kes, pada 7 Mei lalu, kira-kira jam 2 pagi, semasa berada di rumah, Tuan
Mohd Ruzilani dikatakan mengamuk secara tiba-tiba, sebelum bertindak mengambil
golok di dapur dan mengugut mahu menikam mangsa.
Dia
dikatakan naik angin apabila permintaannya sebelum ini untuk mendapatkan wang
RM10, tidak diendahkan mangsa.
Tidak
tahan melayan kerenah dan bimbang akan keselamatan dirinya pada masa akan
datang, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis
Chendering, di sini, sejurus selepas kejadian.