KUALA LUMPUR: Lima pegawai
Jabatan Imigresen ditahan
polis semalam kerana disyaki mensabotaj pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs).
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua mereka
ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang bagi
membantu siasatan.
Beliau berkata operasi untuk mengesan mereka yang terlibat dalam
kegiatan mensabotaj sistem
myIMMs akan
diteruskan.
"Polis juga ada merampas beberapa barang mereka antaranya
dokumen dan siasatan akan diteruskan," katanya yang enggan mengulas
lanjut perkara itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan
Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), di
sini, Khamis.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri dilaporkan berkata kira-kira 100 orang
termasuk pegawai Jabatan Imigresen dan anggota sindiket disiasat pihak berkuasa
kerana disyaki terlibat dalam mensabotaj sistem myIMMs.
Katanya risikan PDRM dan Jabatan Imigresen mendapati sindiket itu
menjalankan aktiviti mensabotaj sistem berkenaan kira-kira enam bulan hingga
dua tahun dengan membocorkan data termasuk menggunakan nombor kod tertentu
untuk disalah guna.
Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 menyatakan myIMMs yang
dibangunkan bagi menyokong operasi utama Jabatan Imigresen kurang memuaskan dan
menyebabkan objektifnya terjejas. - BERNAMA